Arthur Joseph Kurup
KUALA LUMPUR: Usaha bagi menangani kemiskinan dan mempelbagaikan pendapatan akan dipergiatkan dan dipertingkatkan di Negeri Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)Arthur Joseph Kurup berkata, dalam mengupaya Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman, penekanan akan diberikan dalam aspek pendidikan, kemahiran dan keusahawanan.
Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan untuk meningkatkan taraf hidup mereka termasuk mempertingkat pengambilan pelajar berpotensi untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan institut latihan, memupuk keusahawanan dengan fokus kepada kemahiran berdasarkan bakat intrinsik dengan bantuan pembiayaan dan pemasaran produk serta perkhidmatan.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dr. Nuing Jeluing (GPS- Sarawak) yang bertanya, Apakah perancangan Kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan membasmi kemiskinan khususnya bagi Sabah dan Sarawak? di Dewan Negara hari ini.
“Dalam usaha memperkukuh hak adat atau “Native Customary Rights” Program Khas Anak Negeri Sabah dan Sarawak diperuntukkan sejumlah RM41 juta dalam tahun 2021 bagi meningkatkan latihan modal insan, program keusahawanan dan ekonomi serta pembinaan mahkamah adat serta pengukuran tanah adat” katanya.
Selain itu katanya, Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak.
“Justeru, dalam Rancangan Malaysia Kedua belas (RMKe-12) yang akan dibentangkan pada tahun hadapan, satu bab khusus mengenai perancangan pembangunan di Sabah dan Sarawak sedang dirangka” jelasnya.
Beliau berkata, usaha ini menunjukkan Kerajaan sangat komited dalam melaksanakan perancangan pembangunan bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak.