30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Usaha menaiktaraf daerah kecil Paitan ke daerah penuh sedang giat dijalankan: James

James (tengah) semasa mesyuarat di KPMKR pada Rabu

BELURAN: Usaha untuk menaiktaraf daerah kecil Paitan ke daerah penuh kini dalam peringkat memperhalusi dan memuktamadkan persempadanan daerah yang berkenaan, jelas Adun Sugut, Datuk James Ratib.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkata demikian semasa Mesyuarat Teknikal dan Isu-Isu Berbangkit Berkenaan Naiktaraf Daerah Kecil Paitan Ke Daerah Penuh dekat sini pada hari Rabu.

“Mesyuarat kali ini adalah merupakan mesyuarat terakhir di peringkat Daerah Kecil Paitan khusus bagi memuktamadkan beberapa isu teknikal berhubung menaiktaraf daerah kecil Paitan ke daerah penuh.

“Dalam Mesyuarat Kabinet Negeri pada 24 Januari 2024 pada prinsipnya telah bersetuju untuk menaiktaraf daerah kecil Paitan ke daerah penuh namun Ketua Menteri mengarahkan agar persempadanan daerah diperhalusi dan dimuktamadkan terlebih dahulu di antara daerah-daerah yang bersempadan.

“Justeru saya sekali lagi mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli mesyuarat khususnya Jabatan Tanah Dan Ukur, Jabatan Perhutanan Sabah, wakil dari JPANS dan KPLB Sabah dalam usaha ini,” kata beliau.

James mengharapkan agar perbincangan mesyuarat kali ini dapat dimuktamadkan semua isu berbangkit dan seterusnya dapat diangkat ke peringkat JPANS untuk diindos dalam mesyuarat kabinet akan datang.

Mesyuarat yang diadakan di Pejabat Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) atas persetujuan Menteri KPMKR bagi memudahkan kehadiran semua ahli mesyuarat khususnya pihak JPANS dan KPLB, seterusnya dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Beluran, Roger Appolonius.

Dalam mesyuarat tersebut telah dibincangkan mengenai hal persempadanan daerah, di mana setakat ini, 4 daripada 5 daerah yg bersempadan dgn daerah Paitan iaitu Beluran (N.49) Labuk, Telupid (N.47) Telupid, Kota Marudu (N.7) Tandek dan Pitas (N.2) Bengkoka telah pun memberi ulasan serta komen berkenaan sempadan daerah yang diterima sendiri dari Wakil Rakyat dari dearah berkenaan.

Hanya daerah Ranau (N.36) Kundasang yang belum memberi ulasan atau komen setakat hari ini namun Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Adun Kundasang akan memberi kerjasama dalam perkara ini.

Dalam pada itu, Jabatan Tanah dan Ukur memaklumkan mesyuarat bahawa persempadanan daerah menggunapakai persempadanan pilihan raya DUN dan tiada pertindihan kawasan Tanah, kampung, penduduk mahupun kawasan pilihan raya.

Dari pihak Jabatan Perhutanan Sabah pula memaklumkan kepada mesyuarat bahawa hanya 2 daerah sahaja bersempadan di kawasan Hutan Simpan iaitu Kota Marudu dan Ranau namun tiada perkampungan yang berada di Tanah Hutan Simpan.

Sebagai penutup, James mengharapkan agar keputusan mesyuarat hari ini dapat dikemukakan segera kepada JPANS untuk dimuktamadkan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN