ADVERTISEMENTspot_img

Usaha Bersama CNG, CARITAS dan MPP SPCR Hasilkan 46 Pint Darah

Antara yang hadir menderma darah dalam program tersebut

RANAU: Sebanyak 46 pint darah berjaya dikutip dalam Program Kempen Derma Darah anjuran Catholic Nurses Guild (CNG) Ranau, CARITAS dan Majlis Pastoral Paroki (MPP) St Peter Claver Ranau (SPCR) di sini pada hari Ahad.


Program yang turut melibatkan penyertaan dari kakitangan Unit Tabung Darah Hospital Daerah Ranau itu pada awalnya hanya menyasarkan sebanyak 30 pint darah, namun sambutan yang diperolehi lebih dari jangkaan.


Tujuan utama program tersebut dijalankan ialah untuk memberi peluang kepada umat Katolik di sini untuk beramal sempena musim Lent di samping membantu dalam menambah bekalan stok darah di Hospital Ranau.


Sementara itu, jurucakap program, Sr Melania Petrus mengucapkan terima kasih kepada semuya yang terlibat dalam penganjuran Program Kempen Derma Darah itu yang telah meluangkan masa dan tenaga dalam menjalankan inisiatif murni itu.

Barisan kakitangan dan penganjur Program Kempen Derma Darah di SPCR pada hari Ahad itu


Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih, khususnya bagi mereka yang telah tampil untuk menyokong program itu, dan terbuka hati untuk menderma darah walaupun pada musim Lent atau pra-Paskah ini.


“Sebagaimana yang semua umat sudah maklum, dalam musim Lent ini kita dipanggil untuk berpuasa, berdoa dan beramal kasih. Menderma darah juga adalah salah satu perlakuan amal kasih,” katanya.


Mereka yang hadir menderma darah pada program tersebut juga telah diberikan makanan ringan dan cendera hati daripada pihak penganjur atas penglibatan serta sokongan mereka terhadap program tersebut.


Turut hadir memberikan sokongan terhadap program itu ialah Pengerusi MPP SPCR, Dr Gofri Neghilon dan Timbalan Pengerusi MPP, Verus Pinol.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN