29 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

UPKO DIJENAMAKAN SEMULA

KOTA KINABALU: Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) akan dikenali sebagai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu dan akan menerima kaum lain sebagai anggota parti itu susulan satu lagi penjenamaan baru dalam tempoh 20 tahun kewujudannya.

Upko dikenali ramai sebagai sebuah parti kaum Kadazandusun Murut (KDM).

Logo baru Upko yang diperkenalkan kepada anggota parti itu pada satu mesyuarat agung luar biasa di Kota Kinabalu kemarin.

Ia diasaskan oleh bekas ketua menteri Sabah Bernard Giluk Dompok, yang sebelum ini menggunakan nama Parti Demokratik Sabah (PDS), pada 1994 sebelum mengubahnya kepada Upko pada 1999.

Presiden Upko Wilfred Madius Tangau mengumumkan penjenamaan semula itu dan perubahan nama parti berkenaan pada satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Dewan Komuniti Kota Kinabalu hari ini dengan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan selama enam bulan dengan pemimpin parti.

“Kita perlu berubah atau kita akan diubah. Kita kembali ke dewan ini untuk menghidupkan semula semangat Upko yang menekankan perpaduan. Inilah masanya kita menjadikan Upko milik kita bersama tanpa mengira agama, latar belakang, etnik dan warna kulit.

“Dengan ini kita akan bekerja bersama-sama berasaskan dasar bersama dan pada masa sama saling memahami perbezaan yang wujud.

“Kita perlu menerima realiti bahawa selama setengah abad kita terlalu fokus kepada kaum, agama dan latar belakang yang memisahkan kita,” katanya ketika berucap dalam EGM tersebut.

Dalam proses penjenamaan semula itu, parti berkenaan membuat empat resolusi berkaitan perlembagaannya, pengurusan cawangan, lembaga pemegang amanah dan pembinaan negara.

Ia disokong oleh kesemua 319 perwakilan dari 20 bahagian parti yang menyertai EGM hari ini.

Logo parti itu turut diubah suai dengan pengenalan warna merah, bukan hanya biru.

Madius, yang juga merupakan timbalan ketua menteri Sabah berkata, parti tersebut akan terus memperjuangkan penyelesaian kepada masalah pendatang tanpa izin ke negeri itu.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Ewon Benedick; ketua Pemuda Upko Felix Saang dan ketua Wanita, Juiiana Jani.-Sumber FMT-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN