SABAH FIRST!.. Ewon Benedick melaungkan slogan keramat “Sabah First” ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang, hari ini.
Oleh Ketua Pengarang BDB
TIGA puluh dua tahun selepas penubuhannya, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memasuki satu lagi fasa penting dalam perjalanan politiknya, bukan sekadar mencari ruang dalam landskap kuasa Sabah, tetapi cuba mentakrifkan semula kedudukan parti itu sebagai suara yang lebih tersusun dalam memperjuangkan kepentingan negeri.
Di bawah kepimpinan Datuk Ewon Benedick, arah baharu itu semakin jelas.
Ia terangkum dalam satu gagasan yang diulang berkali-kali dalam ucapan dasarnya pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini hari ini iaitu Sabah First.
Namun, kali ini gagasan itu tidak lagi dibingkaikan sekadar sebagai slogan politik.
Sebaliknya, Ewon cuba meletakkannya sebagai kerangka dasar yang merangkumi hubungan Sabah-Persekutuan, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembahagian hasil, kuasa perlembagaan, ekonomi, perindustrian, keusahawanan, pendidikan, pilihan raya dan reformasi institusi.
Dalam nada yang cukup terus terang, Ewon berkata perjalanan Persekutuan Malaysia yang dianggap tersasar daripada semangat asal penubuhannya perlu “kembali ke pangkal jalan”.
Dan “pangkal jalan” yang dimaksudkannya cukup jelas, Sabah perlu mempunyai kekuatan politik sendiri melalui penyatuan parti-parti tempatan.
Di sinilah penyertaan UPKO dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh makna politik yang lebih besar.
Ewon bukan sahaja menganggap penyertaan itu sebagai kerjasama politik, malah melihatnya sebagai sebahagian daripada usaha mengembalikan politik Sabah kepada semangat asal MA63.
Beliau secara terbuka menyatakan kebanggaannya membawa UPKO “balik ke pangkal jalan penubuhan Malaysia” melalui pengukuhan penyatuan parti-parti tempatan Sabah dalam GRS.
Lebih signifikan, Ewon kini memegang kedudukan sebagai Timbalan Pengerusi GRS, manakala Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Mojuntin dan Setiausaha Agung Senator Datuk Nelson Angang turut menganggotai Majlis Tertinggi gabungan itu.
Ini memberikan UPKO kedudukan yang berbeza berbanding beberapa fasa sebelumnya.
Daripada parti yang pernah berada dalam gabungan politik nasional, termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), UPKO kini memilih untuk menempatkan masa depannya dalam ekosistem politik tempatan Sabah.
Perubahan itu bukan kecil.
Ia berpotensi menentukan cara UPKO berunding dengan Putrajaya, bagaimana parti itu membina pengaruh dalam kerajaan negeri serta sejauh mana agenda Sabah First mampu diterjemahkan melalui kuasa pentadbiran.
Jika ada satu isu yang menjadi ukuran keseriusan pendekatan baharu UPKO, ia adalah tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Ewon tidak lagi sekadar menyebut tuntutan itu sebagai hak yang perlu dipertahankan.
Beliau mahu mekanisme pelaksanaannya diperjelas.
Dalam persidangan Jawatankuasa Teknikal MA63 pada 3 Ogos lalu, Ewon berkata beliau mempertahankan pendirian Sabah supaya hak 40 peratus itu dilaksanakan dan mencadangkan 40 peratus kutipan hasil Persekutuan di Sabah dikekalkan untuk disalurkan terus kepada Kerajaan Sabah, manakala 60 peratus dimasukkan ke dalam perbendaharaan Persekutuan.
Cadangan itu membawa perbahasan ke tahap yang lebih substantif, daripada persoalan “berapa” kepada persoalan bagaimana hak itu dibayar dan diurus.
Beliau turut mencadangkan pelantikan pentaksir bebas sekiranya tiada persetujuan dicapai mengenai jumlah tuntutan penuh.
Pada masa sama, Ewon mengakui peningkatan pemberian interim daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion tahun ini sebagai perkembangan positif.
Tetapi beliau mengingatkan bahawa perkataan “interim” sendiri membawa makna sementara.
Pendirian UPKO, katanya, mudah: hak 40 peratus Sabah mesti dibayar sepenuhnya.
Di sebalik isu kewangan, satu lagi tuntutan yang cuba diangkat Ewon ke tengah gelanggang politik ialah komposisi kerusi Parlimen.
Beliau menegaskan Sabah dan Sarawak perlu mempunyai tidak kurang daripada satu pertiga kerusi Parlimen sebagai bentuk perlindungan perlembagaan.
Bagi Ewon, isu itu bukan semata-mata soal menambah bilangan wakil rakyat.
Ia berkaitan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam struktur Persekutuan serta kemampuan kedua-dua wilayah itu mempunyai kuasa politik yang lebih seimbang dalam menentukan masa depan negara.
Atas sebab itu, UPKO mahu persempadanan semula kawasan Parlimen Sabah diberi perhatian.
Kerusi Parlimen Sabah, menurut Ewon, masih berasaskan persempadanan yang bermula pada 2004, manakala kawasan DUN yang ada sekarang bermula pada 2020.
Dengan perkembangan penduduk dan perubahan geografi politik, beliau melihat sudah tiba masanya isu itu dibawa kembali ke meja rundingan.
Ewon juga memperjelas garis merah UPKO.
Sempadan wilayah laut, autonomi imigresen dan kuasa ke atas tanah, katanya, adalah hak Sabah yang tidak seharusnya dijadikan bahan rundingan tanpa batas.
Pendekatan itu penting kerana UPKO kini berada dalam kerajaan.
Cabaran politiknya ialah bagaimana parti mengekalkan identiti perjuangan Sabah First ketika pada masa sama menjadi sebahagian daripada struktur pemerintahan.
Ewon sendiri mengakui sejarah UPKO menunjukkan parti itu pernah berada dalam kerajaan dan di luar kerajaan.
Tetapi, katanya, kedudukan politik boleh berubah; prinsip perjuangan tidak seharusnya berubah.
Peralihan Ewon daripada politik Persekutuan kepada politik negeri juga memberi dimensi baharu kepada gagasan Sabah First.
Ketika menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), beliau berkata pendekatan “Pandang Ke Timur Dalam Negara” diterapkan dengan memberi tumpuan lebih besar kepada Sabah dan Sarawak.
Kini sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, gagasan itu berdepan ujian yang lebih langsung.
Pelabuhan, taman perindustrian, perusahaan kecil dan sederhana, usahawan tempatan, produk Authentic Sabah dan rantaian bekalan industri menjadi antara bidang yang mahu diberi perhatian.
Pengoperasian dua quay crane baharu di Pelabuhan Tawau dan penubuhan pasukan petugas bagi memantau 10 pelan tindakan menangani kesesakan Pelabuhan Kontena Sepanggar adalah antara contoh yang diketengahkan Ewon.
Mesejnya jelas.
Sabah First tidak boleh berhenti pada tuntutan kepada Putrajaya; ia mesti dibuktikan melalui kemampuan kerajaan negeri menyelesaikan masalah Sabah sendiri.
Di peringkat organisasi, Ewon kelihatan mahu mengubah UPKO daripada sebuah parti yang bergerak terutama ketika pilihan raya kepada parti yang berfungsi sepanjang masa.
Cadangan menginstitusikan Jawatankuasa Penyelaras Kawasan DUN (CLC), memperkukuh biro dasar, memperluas peranan Biro Guaman dan Perundangan serta mewujudkan Biro Reform dan Dasar Awam menunjukkan kecenderungan itu.
Yang lebih menarik ialah penekanan Ewon terhadap data dan penyelidikan.
Biro Reform dan Dasar Awam dicadangkan supaya responsif terhadap dasar kerajaan dengan menjadikan dapatan penyelidikan sebagai asas perbincangan.
Biro Keusahawanan dan Pembangunan Perindustrian pula diminta meneliti secara langsung masalah perusahaan tempatan.
Ini memberi isyarat bahawa UPKO mahu membina kapasiti sebagai parti dasar, bukan sekadar parti pilihan raya.
Dalam konteks pilihan raya, Ewon turut menghantar mesej yang cukup jelas kepada anggota parti yang bercita-cita menjadi calon.
Jangan menunggu pencalonan.
Tampil sekarang.
Buktikan kemampuan melalui kerja di lapangan.
Nasihat itu mempunyai implikasi organisasi yang besar.
Ia menunjukkan UPKO mahu menilai calon berdasarkan rekod perkhidmatan, penerimaan akar umbi dan keupayaan membina jaringan masyarakat, bukan semata-mata populariti menjelang pilihan raya.
Kemenangan Kadamaian, Moyog dan Tamparuli pula disifatkan sebagai amanah yang mesti diterjemahkan melalui perkhidmatan.
Antara bahagian paling sensitif dalam ucapan Ewon ialah gesaannya supaya perjanjian Petronas 1976 dikaji semula jika benar dakwaan bahawa perjanjian berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Sabah.
Beliau menolak pandangan bahawa perkara berkaitan keputusan Persekutuan tidak semestinya perlu dibawa ke Kabinet negeri.
Bagi Ewon, isu itu berkait rapat dengan prinsip persetujuan Sabah dalam perkara yang mempunyai implikasi langsung terhadap negeri.
Daripada isu petroleum, beliau kembali kepada tuntutan yang lebih besar, undang-undang Persekutuan yang memberi implikasi kepada Sabah perlu mendapatkan consent pihak berkuasa negeri mengikut kerangka perlembagaan yang berkaitan.
Di sini sekali lagi, UPKO cuba mengangkat isu Sabah daripada polemik politik kepada persoalan struktur perlembagaan.
Menariknya, Ewon tidak membiarkan seluruh ucapan dasar tenggelam dalam isu MA63.
Beliau turut menyentuh pendidikan Bahasa Inggeris, TVET, reformasi undang-undang, pendanaan parti politik, sistem pilihan raya, subsidi diesel, pembangunan Labuan serta kedudukan masyarakat Orang Asli dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Ini memperlihatkan percubaan UPKO memperluas definisi Sabah First.
Ia bukan semata-mata tuntutan negeri kepada pusat, tetapi juga soal bagaimana Sabah melihat dirinya sebagai sebahagian daripada Malaysia yang lebih adil dan berfungsi.
Enam usul yang dibawa dalam persidangan kali ini menjadi manifestasi kepada perubahan tersebut.
Usul pindaan Perlembagaan Parti, persempadanan semula kawasan pilihan raya Sabah, pelaksanaan penuh MA63, pemerkasaan tadbir urus melalui Sabah First, pengurusan tanah adat serta pembangunan tenaga hijau dan lestari semuanya berkongsi satu ciri, ia berorientasikan dasar.
Jika diterjemahkan secara konsisten, enam usul itu boleh menjadi peta jalan baharu UPKO untuk bergerak daripada politik identiti kepada politik keberhasilan.
Namun, sebelum mahu mengurus “keluarga besar Sabah”, Ewon mengakui UPKO perlu terlebih dahulu mengurus rumahnya sendiri.
Beliau menggunakan analogi “rumahku, syurgaku” bagi menggambarkan keperluan memastikan perbezaan dalam pemilihan parti tidak memecah-belahkan organisasi.
Demokrasi, katanya, mesti menguatkan parti, bukan melemahkannya.
Dengan mandat baharu sehingga 2029 bersama Donald Mojuntin sebagai Timbalan Presiden, Ewon kini mempunyai ruang untuk menguji sejauh mana gagasan yang dibentangkannya mampu diterjemahkan menjadi struktur organisasi, dasar kerajaan dan kekuatan pilihan raya.
Ucapan dasar Ewon pada dasarnya meletakkan satu janji politik yang besar kepada UPKO dan Sabah.
Bahawa perjuangan Sabah First mesti menghasilkan sesuatu yang boleh diukur.
Hak 40 peratus mesti mempunyai mekanisme.
MA63 mesti menghasilkan kuasa yang nyata.
Satu pertiga kerusi Parlimen mesti menjadi agenda politik yang berterusan.
Autonomi Sabah mesti diterjemahkan dalam pentadbiran.
Usahawan tempatan mesti mendapat ruang dalam ekonomi negeri.
Dan UPKO sendiri mesti membuktikan bahawa parti itu mampu menghasilkan kepimpinan yang berintegriti, berprinsip dan berkesan.
Di situlah terletaknya cabaran terbesar Ewon.
Kerana selepas semua tuntutan, slogan dan usul dibahaskan, ukuran terakhir politik tetap sama, apa yang berjaya dilaksanakan.
Ewon memilih untuk mengakhiri ucapan dengan frasa yang berulang dalam perjalanan politiknya: terus senyum, terus bekerja, terus berusaha.
Jika itu mahu dijadikan wajah baharu UPKO, maka persidangan kali ini bukan sekadar persidangan parti.
Ia adalah percubaan menetapkan semula identiti politik UPKO, daripada sebuah parti yang pernah bergerak antara gabungan nasional dan tempatan kepada sebuah parti yang mahu menjadikan Sabah First sebagai dasar, MA63 sebagai kerangka dan keberhasilan sebagai ukuran.
Dan untuk UPKO, perjalanan “kembali ke pangkal jalan” itu baru sahaja bermula.



