Jonathan (tengah) bersama peserta pada upacara pelepasan Kembara Doa Kinabalu (KDK) 2026 di SIB Pekan Ranau, baru-baru ini.
RANAU: Upacara pelepasan (flag-off) Kembara Doa Kinabalu (KDK) 2026 bagi Zon Ranau di Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Pekan Ranau, baru-baru ini, bukan sekadar menandakan bermulanya konvoi kerohanian, malah mengutus mesej kesatuan, keharmonian dan kesejahteraan kepada masyarakat.
Program tahunan itu menghimpunkan ratusan jemaah, pemimpin gereja dan masyarakat setempat dalam satu perjalanan kerohanian yang menekankan kepentingan doa serta kebersamaan dalam membina komuniti yang harmoni.
Upacara pelepasan berkenaan disempurnakan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan para peserta sebelum konvoi memulakan perjalanan.
Jonathan berkata usaha menganjurkan program berkenaan wajar dihargai kerana bukan sahaja menjadi wadah pengukuhan iman, malah menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut memuji komitmen penganjur yang menjadikan doa sebagai medium untuk mendoakan keamanan, kesejahteraan serta kemakmuran negara, Sabah dan daerah Ranau.
KDK merupakan program kerohanian yang dilaksanakan menerusi konvoi kenderaan mengelilingi kawasan di sekitar kaki Gunung Kinabalu, dengan lokasi tertentu sepanjang laluan ditetapkan sebagai stesen perhentian doa (Prayer Stations).
Di setiap stesen, para peserta berkumpul untuk menaikkan doa syafaat bagi kesejahteraan Malaysia, keamanan Sabah, kemakmuran Ranau serta kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya.
KDK 2026 Zon Ranau turut memperlihatkan penglibatan beberapa cawangan SIB dari kawasan berhampiran, antaranya SIB Tombulion, SIB Pekan Kota Marudu, SIB Muhibbah Ranau, SIB Pekan Nabalu dan SIB Piasau.
Penglibatan rentas daerah itu mencerminkan semangat kesatuan dan kebersamaan dalam kalangan jemaah SIB, selain mengeratkan hubungan antara gereja dan komuniti setempat.
Menurut jawatankuasa pelaksana, KDK bukan sekadar konvoi fizikal, sebaliknya merupakan perjalanan spiritual yang memberi ruang kepada peserta untuk memperkukuh hubungan dengan Tuhan serta menghayati keindahan alam ciptaan-Nya.
Selain konvoi dan sesi doa, program turut diserikan dengan pujian dan penyembahan, perkongsian firman Tuhan serta aktiviti ramah mesra bersama komuniti di lokasi persinggahan.
Kehadiran konvoi di beberapa kawasan turut mendapat sambutan mesra penduduk kampung dan jemaah tempatan yang bersama-sama menjayakan program serta menyediakan hidangan tradisional kepada para peserta.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memastikan kelancaran dan keselamatan program, termasuk pihak berkuasa tempatan, sukarelawan serta penaja.
Kejayaan penganjuran KDK 2026 Zon Ranau sekali lagi membuktikan bahawa semangat doa, kesatuan dan kebersamaan mampu menjadi platform memperkukuh keharmonian serta membawa impak positif kepada masyarakat.



