Prof. Ts. Dr. Shamsul Bahari (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Hasrat di antara AA Deepa (tiga kiri) dan Dr. Geoffrey (tiga kanan), kelmarin.
LABUAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Bursa Malaysia telah menandatangani Surat Hasrat (Leter Of Intent -LOI) untuk menjalin kerjasama strategik memperkukuh literasi kewangan dan pendidikan pelaburan praktikal mahasiswa di seluruh negara.
Majlis Menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) yang disaksikan Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Profesor Technologists (Ts). Dr. Shamsul Bahari Shamsudin telah diadakan di bilik Eureka Bangunan Manara UMSKAL pada Rabu.
Majlis tersebut diadakan sempena ulang tahun ke-10 Pertandingan Perdagangan Saham (Stock
Trading Competition – STC) UMS, yang dianjurkan oleh Kelab Kewangan Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL).
LOI ini merupakan satu legasi penting buat UMS, memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju dalam pendidikan kewangan berfokuskan pelajar.
Sepanjang sedekad yang lalu, UMS telah menjadi perintis kepada aktiviti pembelajaran berasaskan pelaburan seperti simulasi perdagangan, kempen literasi kewangan, ceramah pelaburan dan pertandingan inovasi yang bertujuan menyediakan pelajar untuk menghadapi realiti kewangan semasa.
Kerjasama bersama Bursa Malaysia ini turut merangkumi dua inisiatif utama iaitu penubuhan Bursa Young Investor Club (BYIC) di UMSKAL dan penyertaan aktif UMS dalam Bursa Inter-Varsity Stock Challenge (BISC) 2025.
BYIC akan menjadi platform pelajar bagi menganjurkan seminar pelaburan, permainan simulasi, pertandingan dan aktiviti berteraskan industri kewangan, dengan sokongan penuh dari LifeChamp Sdn. Bhd., pengurus program rasmi yang dilantik oleh Bursa Malaysia.

Prof. Ts. Dr. Shamsul Bahari (tengah) AA Deepa (lima kiri) dan Dr. Geoffrey (empat kanan) bersama pelajar UMSKAL.
Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Shamsul Bahari menegaskan bahawa majlis ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan komitmen bersama untuk membina masa depan lebih cerah bagi pelajar, industri dan masyarakat.
Katanya, sekurang-kurangnya 100 pasukan pelajar UMS akan digerakkan bagi menyertai BISC 2025, yang dibimbing mentor industri dan penasihat fakulti.
Turut hadir Presiden Kanan, Pembangunan Kapasiti & Perhubungan Broker Bursa Malaysia, AA Deepa, Dekan FKAL, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Pengurus Kanan, Pembangunan Kapasiti & Perhubungan Broker, Saiful Azmi Johan, Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Antarabangsa Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Dr. Nooralisa Mohd Tuah dan wakil dari CGS International, Ronnie Chai dan Ananda Wong.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan LOI ini, UMS komited untuk menyediakan kemudahan dan penasihat fakulti iaitu Pensyarah Kanan Pelaburan
Program Kewangan Antarabangsa FKAL, Dr. Aminah Shari bagi menyokong program BYIC di kampus.
Sementara itu, Bursa Malaysia dan LifeChamp akan membekalkan kandungan latihan, teknologi dan rangkaian mentor industri bagi memastikan keberkesanan dan impak berterusan kepada pelajar.
Kerjasama ini menjadi contoh terbaik kepada model perkongsian strategik antara industri dan akademia yang mengutamakan pembangunan negara, ketahanan kewangan serta peningkatan keupayaan belia.
.



