LABUAN:BulanMei setiap tahun merupakan bulan yang dinanti-nantikan bagi suku kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) kerana bulan Mei merupakan bulan untuk merayakan Pesta Kaamatan atau Tadau Kaamatan dan acara kemuncak lazimnya ialah pertandingan Unduk Ngadau.
Menurut Penggiat Seni, Budaya dan Tradisi Suang LOTUD, Dee Layun (gambar) berkata, berdasarkan pengalaman selama 25 tahun menjadi juruandam dan 20 tahun menjadi juri di peringkat kampung/daerah dan negeri. Secara tidak langsung hal ini mendorong beliau untuk turut memberikan pandangan kepada tata cara pemakaian busana Suang Lotud yang pasti menjadi busana pilihan para peserta sebagai busana yang diperagakan di pertandingan akhir Unduk Ngadau Peringkat Daerah Tuaran.
Katanya, sudah tiba masanya untuk kita menjaga dan memartabatkan keaslian pakaian Suang Lotud yakni merujuk kepada pakaian asas Suang Lotud yang tidak dimodenisasikan dengan manik bergemerlapan untuk dipakai semasa Pertandingan akhir Unduk Ngadau Daerah/ Negeri kelak dan dipadankan dengan gaya dandanan rambut yang dikenali sebagai sinulug kiginuli / sinungkok yang merupakan sanggul simpul Suang Lotud sejak dahulu lagi.
“Walaupun kita berada di era globalisasi yang dipacu dengan arus kemodenan tetapi tidak semua perkara itu harus dimodenkan.
“Saya merujuk kepada topik perbincangan ini iaitu busana Suang Lotud, ia-nya tidak wajar dimodenkan kerana pakaian asli Suang Lotud mempunyai nilai estetika yang amat berharga dan istilah sesetengah orang …’ala zaman dulu-dulu memang tiada ni manik-manik sebab itulah tiada dijahit di baju tapi sekarang sudah moden jadi boleh bah semua supaya cantik…’ saya tidak meneggah untuk dijahit labuci pada busana ini kerana sejak zaman dahulu lagi pun memang ada dijahit labuci.
“Tetapi tidak sehingga melitupi separuh daripada busana tersebut dan mentaliti seperti ini akan merosakkan nilai estetika seni pada pakaian asli Suang Lotud tersebut dan kelak busana asli Suang Lotud hanya tinggal kenangan dokumentasi dan bukan pada nilai aslinya yang dijaga sebaiknya agar generasi akan datang juga turut memelihara keasliannya’, katanya kepada wartawan BDB di sini, pada Ahad.
Bagaimanapun katanya, bagi memartabatkan busana ini, ia bukan hanya berfokus kepada keaslian busana tetapi tatacara dan tertib pemakaian juga wajar dititikberatkan oleh semua pihak kerana ada segelintir yang memperlekehkan tatacara dan tertib pemakaian busana Suang Lotud ini.
“Bila kita tidak mempunyai ilmu dan tidak pasti akan sesuatu perkara maka wajar kita mencari pakar rujuk atau bahan yang boleh dijadikan rujukan supaya kita tidak melakukan kesilapan malah dapat mempelajari dan memiliki ilmu yang akan sebati dalam diri kita sebagai anak jati Suang Lotud” katanya.
Beliau percaya Muzium Lotud di Tuaran juga mempunyai panduan akan tatacara serta tertib pemakaian busana Suang Lotud yang betul kerana sebelum ini bengkel pemurnian tatacara pemakaian busana Suang Lotud telah diadakan yang disertai oleh Ketua Tantagas, para pemimpin Suang Lotud dan orang perseorangan dan hasil bengkel tersebut telah dibukukan dan dimeterai sebagai bahan rujukan rasmi kepada tatacara pemakaian busana Suang Lotud.
“Besar harapan saya agar penganjuran pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Daerah Tuaran pada tahun ini akan memberi fokus kepada peragaan busana asas dan asli Suang Lotud berserta dandadan rambut sinulug kiginuli/ sinungkok sahaja supaya dapat menyerlahkan citra sumandak Suang Lotud yang asli” katanya.
Meneurut Dee Layun lagi, pertandingan Unduk Ngadau ini dijadikan platform kepada pemerkasaan busana etnik Suang Lotud serta meningkatkan penguasaan bahasa ibunda dengan mengambil inisiatif untuk mengasah serta membiasakan diri untuk bertutur dalam bahasa ibunda Suang Lotud
“Jika tidak, semua khazanah ini akan luput ditelan zaman dan dilitupi oleh arus kemodenan. Sebagai anak jati Suang Lotud saya tidak mahu melihat suatu hari nanti hanya dokumentasi sahaja yang tinggal untuk rujukan anak bangsa” katanya.
Jelasnya, kalau bukan sekarang bila lagi dan kalau bukan Suang Lotud sendiri siapa lagi yang patut mengambil berat dan memainkan peranan dalam usaha menjaga dan memelihara budaya, adat resam dan bahasa Suang Lotud demi kelangsungan anak bangsa akan datang.
“Seni, Budaya dan Tradisi tidak wajar diubahsuai dan dimodenkan malah sewajarnya dipelihara dan diangkat martabatnya agar nilai estetika dan identiti Suang Lotud sentiasa gah dan merelang” katanya.



