Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari menyampaikan cenderamata kepada Mohd Hamizi semasa kunjungan ke IPD Labuan, baru-baru ini
LABUAN: Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL). Profesor Technologists (Ts). Dr. Shamsul Bahari Shamsudin mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Polis Daerah WP Labuan, (PDRM), Superintenden Mohd Hamizi Halim, baru-baru ini.
Beliau diiringi Ketua Sektor Keselamatan, ASP/PB Rakam Singh A/L Karam Singh.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Ketua Cawangan Khas Daerah Labuan, DSP Suhaimi Ali Hussin, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Labuan, DSP Yusman Syahri Marinsah dan ASP Mohd Dzulkiflee Emmanuel Abdullah, Cawangan Khas Daerah Labuan.
Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari mengucapkan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada IPD Labuan yang menjaga keselamatan warga UMSKAL di samping menjaga keselamatan rakyat di pulau ini.
Beliau yakin kehadiran pegawai dan anggota polis yang sering melakukan rondaan di kawasan UMSKAL memberikan keyakinan kepada warga universiti khususnya mahasiswa untuk menjalani kehidupan seharian.
Malah, pelbagai program dan aktiviti dapat dilaksanakan dengan sempurna hasil tahap keselamatan yang tinggi.
Aspek keselamatan yang terjamin antara faktor ibu bapa membenarkan anak mereka melanjutkan pengajian tinggi di UMSKAL.
Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari berharap jalinan dan hubungan baik serta kerjasama padu antara kedua-dua pihak akan berterusan untuk kesejahteraan warga UMSKAL amnya.
Beliau turut mengalu-alukan penganjuran dan penglibatan pegawai dan anggota IPD Labuan dalam pelbagai program anjuran UMSKAL.
Sementara itu, Superintenden Mohd Hamizi pula berharap pihak UMSKAL akan turut memainkan peranan membantu PDRM menjaga keselamatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan agar pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya.
Mohd Hamizi juga menasihatkan warga UMSKAL agar tidak membabitkan diri dengan kegiatan yang boleh menjejaskan nama baik universiti dan keluarga.
Katanya, jauhi gejala negatif dan kurang sihat yang boleh memudaratkan masa depan mahasiswa.
Beliau akan sentiasa bekerjasama memantau sebarang program termasuk pendaftaran pelajar baharu UMSKAL pada 27 dan 28 September dan Pesta Tamu Gadang UMSKAL pada 7 – 9 November 2025.



