30 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mac 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

UMS Lancar Saringan Covid-19 Pandu-lalu kepada Orang Ramai

Saringan sedang dilakukan tanpa perlu turun dari kereta

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini menyediakan perkhidmatan saringan Koronavirus (Covid-19) secara pandu-lalu kepada orang ramai.

Pengarah Pusat Rawatan Warga (PRW) UMS, Dr. Muhammad Syafiq Abdullah berkata, perkhidmatan itu dibuka setiap hari di Pusat Rawatan Warga (PRW) yang terletak berhampiran dengan Pusat Sukan UMS.

“Orang ramai boleh datang membuat saringan antara pukul 9.30 pagi – 12.00 tengahari atau pukul 2.30 petang – 4.30 petang.

“Saringan akan dibuat di lobi PRW dengan cepat, cermat dan selamat tanpa perlu turun dari kereta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Syafiq, sebanyak RM95 bayaran dikenakan bagi saringan menggunakan kaedah “rapid test”, manakala RM333 untuk kaedah “Covid-19 rt-PCR”.

“Semua pembayaran boleh dilakukan secara perbankan atas talian. Resit juga dikeluarkan atas talian. Ini bagi mengelakkan sebarang sentuhan sekali gus mengurangkan risiko penularan pandemik Covid-19.

“Untuk makluman, inisiatif ini dijalankan PRW dengan kerjasama Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan makmal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS,” jelas Dr. Syafiq.

Mengulas lanjut, beliau juga memaklumkan bahawa inisiatif tersebut sebagai salah satu usaha universiti melalui bidang kepakaran dan kelengkapan UMS untuk sama-sama membantu memerangi pandemik Covid-19.

“Kita mempunyai petugas kesihatan yang berpengalaman membuat ujian swab hampir 5,000 pelanggan sejak April 2020,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HUMS, Prof Dr Helen Benedict Lasimbang dalam kenyataan yang sama memaklumkan perkhidmatan yang ditawarkan itu mampu memberi impak yang tinggi terhadap masyarakat.

“Ia dapat mengurangkan risiko penularan dan mengelakkan pembasmian kuman yang tidak perlu di kawasan pusat perkhidmatan saringan (PRW).

“Mereka yang datang bukan sahaja merasa selesa, malah dalam masa sama ia memberi perlindungan kepada petugas kesihatan UMS yang melakukan saringan.

“Inilah inti perkhidmatan HUMS iaitu untuk membawa hospital ke klien, bukan klien ke hospital,” katanya.

Sementara itu Dekan FPSK UMS, Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree berkata, semua proses ujian dan keputusan akan dibuat di makmal FPSK.

“Ini boleh mengurangkan masalah logistik dan pengangkutan kerana semua proses dilakukan di dalam kampus.

“Para pakar dan juruteknik makmal FPSK turut menimba pengalaman bekerja di lapangan sebagai bekalan berharga apabila HUMS siap pada akhir tahun 2022.

“Ia juga sekali gus merealisasikan sebahagian daripada janji fakulti ini untuk sentiasa memberi tumpuan dan mengutamakan keperluan penduduk Sabah,” katanya.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan mesej whatsapp di talian 088-329054.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN