25 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 12, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

UMNO Labuan sambut baik pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Menteri (Wilayah Persekutuan)

Mohd Rafi

LABUAN: UMNO Bahagian Labuan menyambut baik pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) sambil berharap pelantikan tersebut menjadi titik tolak kepada nafas baharu dalam pembangunan Wilayah Persekutuan khususnya Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan mengucapkan setinggi tinggi tahniah atas pelantikan Hannah Yeoh dan berharap beliau dapat menjalankan amanah dengan penuh kebijaksanaan, keprihatinan serta keterbukaan terhadap suara rakyat Wilayah Persekutuan.

“Walaupun pelantikan ini menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat, khususnya di Wilayah Persekutuan, saya selaku salah seorang pemimpin masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan menyambut baik pelantikan YB Hannah Yeoh dan berharap beliau dapat menjalankan amanah ini dengan penuh kebijaksanaan, keprihatinan serta keterbukaan terhadap suara rakyat,”katanya.

Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Tertingi UMNO Malaysia turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), atas segala jasa, sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang memegang amanah tersebut.

“Sumbangan dan usaha Datuk Seri Dr. Zaliha dalam mengurus serta membangunkan Wilayah Persekutuan amat dihargai dan akan terus dikenang oleh rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian menerusi laman facebook beliau ketika mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Hannah Yeoh atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) susulan rombakan kabinet Kerajaan MADANI oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Mohd Rafi yang juga Pengerusi Penasihat Giat MARA Wilayah Persekutuan Labuan turut menjelaskan terhadap kedudukan Wilayah Persekutuan Labuan yang kini berdepan dengan pelbagai cabaran dan defisit dalam aspek ekonomi, peluang pekerjaan, pelancongan serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, Labuan yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai Pulau Bebas Cukai dan destinasi pelancongan utama kini dilihat seolah-olah kehilangan identiti dan kelebihan tersebut.

“Daya tarikan pelancongan semakin pudar, dan Labuan seakan-akan terpinggir daripada radar pelancong tempatan serta antarabangsa. Keadaan ini memberi kesan langsung kepada ekonomi tempatan dan kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berharap Hannah Yeoh dapat melihat semula potensi sebenar Pulau Labuan yang mempunyai asas dan kekuatan kukuh untuk dibangunkan semula secara menyeluruh dan mampan.

Menurut Mohd Rafi, antara perkara utama yang wajar diberi perhatian, ialah pembangunan aktiviti hiliran sebagai pemangkin ekonomi baharu, pemerkasaan pelancongan domestik melalui penganjuran program dan acara berskala besar, serta pengukuhan ekonomi kecil dan peniaga tempatan supaya manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat Labuan.

“Rakyat Labuan tidak meminta yang luar biasa, sebaliknya hanya mahu peluang yang adil, perhatian yang sewajarnya dan perancangan pembangunan yang benar-benar berpaksikan keperluan setempat,” tegas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN