Mohd Rafi sentiasa ambil tahu permasalahan rakyat.
LABUAN: UMNO Labuan meneruskan pendekatan turun padang dan semangat yang lebih kental untuk mendekati rakyat bagi mengenal pasti isu serta keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata perhatian diberikan kepada pelbagai perkara termasuk kebajikan, kemudahan asas, ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan, belia dan pembangunan komuniti.
Menurutnya, setiap isu yang dibawa masyarakat akan cuba disalurkan kepada kementerian, agensi atau pihak berkaitan untuk mendapatkan perhatian dan tindakan.
Beliau berkata pendekatan khidmat masyarakat turut dilaksanakan menerusi program kebajikan, pertemuan bersama peniaga serta pembangunan bakat belia dalam bidang sukan.
Dalam aspek kemudahan masyarakat, permohonan menaik taraf Surau Kampung Kerupang dan Surau Kampung Bebuloh Laut turut mendapat kelulusan peruntukan masing-masing RM50,000 dan RM100,000 daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. (KKDW)
Mihd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia (MKT) berkata pendekatan berkenaan akan diteruskan dengan memberi tumpuan kepada usaha mendengar pandangan masyarakat, membawa keperluan mereka kepada pihak berkaitan dan mencari penyelesaian berdasarkan keperluan setempat.



