TURUN PADANG…Mohd Rafi (tengah) bersama penerima tangki di Kampung Layang Layangan pad Ahad.
LABUAN: UMNO Bahagian Labuan mengagihkan bantuan tangki air kepada semua rakyat yang terjejas bekalan air tanpa mengira warna kulit dan fahaman politik.Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi juga turut menyangkal dakwaan pihak tertentu kononnya pengagihan tangki hanya tertumpu kepada kroni sahaja.Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, bantuan tangki air yang diluluskan peruntukanya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diagihkan kepada semua rakyat yang terjejas bekalan air di 27 buah kampung tanpa mengira fahaman politik.Beliau berkata, ketika ini agihan bantuan tangki air yang memasuki fasa kedua sebanyak 1,000 tangki sedang dilaksanakan secara berperingkat dengan memberi keutamaan kepada penduduk yang benar benar terjejas dan tidak mempunyai tangki di rumah.Manakala fasa pertama sebanyak 1,000 tangki telahpun telah pun selesai diagihkan pada tahun lalu yang melibatkan 18 buah kampung yang ketika itu berdepan dengan ganguan bekalan air yang amat kritikal.Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, pengagihan tangki air ini dilakukan berdasarkan penilaian oleh Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan kerjasama Bahagian Bekalan Air bagi memastikan penerima yang betul betul layak.“Jadi tidak timbul yang kononnya tangki air yang di pohon oleh UMNO untuk kroni sahaja.. itu tidak benar sama sekali.“Bukan pemimpin UMNO yang menyenaraikan… tetapi di senaraikan oleh JPKK tanpa mengira warna kulit mahupun fahaman politik mereka” katanya kepada pemberita pada program Turun Padang agihan bantuan tangki air di Kampung Sungai Miri, Sungai Pagar, Layang Layangan dan Pohon Batu, pada Ahad.Pada minggu lalu, majlis agihan bantuan tangki telah dilaksanakan di Kampung Sungai Labu dan Sungai Lada.Dalam pada itu, Mohd Rafi turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Kerajaan Perpaduan yang telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM 750,000 bagi pembelian tangki.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya pihak Unit Penyelarasan Dan Pelaksanaan (ICU), Perbadanan Labuan, Bahagian Bekalan Air (BBA) Labuan serta pemimpin masyarakat yang sentiasa berusaha dan mempercepatkan urusan bantuan tangki air ini” katanya.



