26 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ugut, samun di kedai runcit Kg.Nalapak, seorang lelaki warga asing berjaya ditahan

DITANGKAP…suspek dipercayai warga asing terpaksa diikat penduduk kampung sementara menunggu anggota polis tiba

RANAU: Seorang lelaki warga asing yang bersenjatakan objek tajam ketika menyamun sebuah kedai runcit di Kampung Nalapak di sini, pada Ahad, berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Simiun Lomudin  berkata, suspek berumur 28 tahun dan bekerja sebagai buruh ladang sawit.

Katanya, dalam kejadian lebih kurang jam 3 petang itu, mangsa seorang wanita tempatan yang sedang berada di kedai runcit miliknya telah didatangi seorang lelaki tidak dikenali.

“Menurut mangsa, suspek meluru masuk menuju kaunter kedai dan mengeluarkan satu objek tajam yang diperbuat daripada buluh lalu mengugut mangsa supaya diam dan tidak melakukan apa-apa tindakan.

“Suspek seterusnya mengarahkan mangsa untuk memasukan wang ke dalam plastik kecil berwarna hitam.

“Mangsa yang berada dalam keadaan ketakutan hanya menurut permintaan suspek dan memasukkan wang tunai yang tidak diketahui jumlahnya sebelum suspek melarikan diri,”  katanya dalam kenyataan media hari ini.

DSP Simiun Lomudin

DSP Simiun berkata, mangsa seterusnya bertindak meminta bantuan penduduk kampung untuk mengejar suspek tersebut.

“Tindakan pantas penduduk kampung telah berjaya menangkap suspek tidak jauh daripada tempat kejadian dan merampas semula wang tunai yang telah disamun oleh suspek.

“Suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis yang tiba ke tempat kejadian sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk siasatan lanjut,” jelas beliau.

Dalam pada itu, DSP Simiun Lomudin  menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan polis berhubung kejadian tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 392 / 397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial, seorang lelaki dipercayai warga asing ditangkap penduduk kampung kerana disyaki mengugut untuk mengancam keselamatan seorang pemilik kedai runcit di Kg.Nalapak sebelum menyamun dan melarikan sejumlah wang.-Borneo Daily Bulletin








ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN