ADVERTISEMENTspot_img

Tumpukan juga pada bidang pemulihan dadah: James

Datuk Maria Chong (kiri) mewakili Datuk James Ratib, menyampaikan kuih raya kepada penerima

PAPAR: Semua pihak digesa agar sentiasa mengambil berat dan peka dengan perkembangan semasa berkenaan dalam bidang pemulihan dadah agar dapat membantu dengan lebih efisyen golongan yang menghadapi masalah penagihan ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, semua pihak perlu dapat bekerja dan menimba lebih banyak ilmu untuk memahami, menyokong dan seterusnya memberikan dorongan kepada golongan tersebut.

“Kita juga perlu sentiasa peka dan sedar bahawa ianya adalah satu tanggungjawab bersama untuk mendidik dan mencegah diri kita dan ahli masyarakat kita agar tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat terutamanya penagihan dadah.

“Dengan berbuat demikian maka barulah kita dapat melahirkan generasi sihat tanpa dadah, dan barulah kita dapat menyempurnakan amanah yang kita pikul untuk menjamin kesejahteraan Negara kita dari apapun bentuk ancaman anasir-anasir negative,” kata beliau.

James yang juga Pengerusi Pemadam Negeri Sabah berkata demikian Sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Serbaguna PUSPEN Papar. Teks ucapannya dibacakan Setiausaha Tetap KPMKR, Datuk Maria Chong yang turut mewakilinya dalam majlis itu.

Nasihat beliau kepada klien PUSPEN ialah, kuatkan ketahanan fizikal, mental dan rohani serta fokus kepada program-program pemulihan yang dilaksanakan di pusat berkenaan.

“Sempena di bulan syawal, bulan yang mulia ini, tekadkanlah niat dan jadikan ini sebagai titik tolak untuk terus kekal pulih. Bina hidup baru dengan semangat yang baru. Mudah-mudahan segala manfaat yang kita usahakan ini akan beroleh kejayaan,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada PEMADAM Negeri Sabah kerana menjadikan sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai acara tahunan di PUSPEN.

“Majlis seumpana ini amat bermakna dan menyentuh keprihatinan kita betapa pentingnya perhatian yang berterusan sesama kita dalam memberikan sokongan terhadap klien-klien PUSPEN yang sedang mengikuti program rawatan dan pemulihan dalam untuk mengubah diri mereka demi menjadi golongan masyarakat yang produktif dan mempunyai harapan dalam membentuk masa depan yang cerah serta berjaya sepenuhnya.

“Sambutan ini sangat jelas iaitu untuk meluaskan dan mengembangkan ruang keprihatinan kita dengan sentuhan nilai-nilai kemanusiaan yang wajar kita kongsikan.

“Mudah-mudahan dengannya sambutan ini akan membuka lebih banyak hikmah antara kita dengan para klien di pusat ini,” katanya.

Di samping itu katanya, sambutan tersebut juga dapat menguatkan semangat jati diri untuk lebih komited dalam diri masing-masing sebagai satu kelengkapan memerangi gejala penagihan dadah di Negara ini.

“Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk mencegah dan membasmi penagihan dadah daripada terus menular dan meranapkan setiap insan dalam struktur masyarakat kita yang kita sayangi ini,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN