30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Tukar segera klinik kayu kepada konkrit: James

James ketika bercakap kepada Wartawan pada sidang media di pejabatnya pada Isnin

KOTA KINABALU: Sekitar 100 buah klinik kesihatan yang diperbuat daripada kayu di negeri ini digantikan dengan bangunan konkrit dalam tempoh dua tahun, jelas Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib.

Menurut beliau, keadaan klinik kesihatan di Sabah pada ketika ini amat memalukan negeri ini, memandangkan di negeri lain, ianya sudah digantikan dengan bangunan konkrit yang baharu.

“Lebih kurang 100 buah klinik kesihatan di Sabah yang diperbuat daripada kayu tetapi di Semenanjung, Sarawak sudah tidak ada lagi klinik kayu.

“Di Sabah saja yang ada, bukankah ini memalukan kita. Saya sendiri yang turun padang untuk melihat klinik-klinik kayu. Kita akan selesaikan (ganti kepada konkrit) pada tahun 2025. Tidak ada lagi klinik kayu,” katanya.

Tambah James lagi, keadaan bangunan klinik kesihatan yang daif di negeri ini bukan saja berlaku di kawasan pedalaman tetapi turut boleh dilihat di kawasan bandar termasuk di Tuaran dan Kota Kinabalu.

“Di bandar juga keadaannya daif. Lihat di Tuaran dan di Luyang bangunannya retak di sana sini. Itu di kawasan bandar, apa lagi di luar bandar. Ada yang tiada tangga, tiada tangki, jalan raya pun teruk.

“Begitu memalukan. Setelah 60 tahun merdeka, masih lagi klinik daif diperbuat daripada kayu dan bila saya bermesyuarat di kementerian di Putrajaya, Sabah saja banyak klinik kayu. Kadang-kadang saya tutup mata sebab malu,” katanya.

James menambah, disebabkan keadaan prasarana kesihatan yang disediakan di Sabah tidak dinaik taraf punca pegawai dan kakitangan kerajaan tidak mahu ditugaskan ke negeri ini.

“Sebab itu ramai pegawai kakitangan kerajaan dari Semenanjung dan Sarawak tidak mahu datang ke Sabah, kadang-kadang mereka hanya terpaksa datang ke sini. Sebab itu juga kita kekurangan doktor dan jururawat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau komited untuk menyuarakan dan bekerja untuk membawa perubahan dengan memberikan prasarana kesihatan yang terbaik untuk rakyat di negeri ini.

James yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Tun Fuad Stephen, pada hari Isnin.

Sementara itu, beliau yang juga EXCO Kesihatan Negeri Sabah memberi amaran kepada kakitangan jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri ini supaya tidak melengah-lengahkan tugas dalam menyediakan kemudahan untuk rakyat di Sabah.

Amaran tegas itu dibuat ekoran isu pewartaan tanah bagi pembinaan klinik kesihatan di negeri ini yang tidak dipohon sejak 30 tahun lalu termasuk membabitkan sebuah klinik yang terbakar baru-baru ini di Beluran.

“Baru-baru ini saya melawat Klinik Kesihatan Tangkarason yang terbakar dan kita telahpun mengambil tindakan iaitu akan terus membina klinik baharu bagi menggantikan klinik kayu yang musnah itu.

“Bagaimanapun, apa yang menjadi penghalang kepada kita ialah tanah tersebut belum lagi dimohon oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu belum dimohon untuk pewartaan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) mengikut rekod daripada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Beluran,” katanya.

Menurut James, apabila tiba masanya untuk proses membina bangunan baharu ia tidak dapat dilaksanakan disebabkan isu pewartaan tanah yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

“Ini merupakan satu perkara yang amat menyedihkan, bayangkan klinik sudah berusia lebih 30 tahun dibina tetapi belumpun dimohon oleh KKM melalui PTP, jadi saya mahu tahu apa peranan pesuruhjaya ini di Sabah?
“Apakah mereka ini makan gaji buta, apakah mereka ini hanya ambil gaji dan tidak mahu bekerja.

“Itu baru Klinik Kesihatan Tangkarason, begitu juga klinik di Mansiad di Sook di mana tanah tersebut telah dimohon sejak 1979 tetapi baru-baru ini apabila kita bawa dalam mesyuarat bersama JTU, tanah tersebut baru dikeluarkan tawaran dan Klinik Kesihatan Mansiad tidak dapat dibina sebelum ini kerana tanah belum tersedia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu kakitangan kerajaan supaya memahami peranan mereka dan seterusnya melakukan tugas yang diberikan.

“Saya minta PTP yang bertanggungjawab ke atas tanah-tanah ini supaya dapat mewartakan tanah tersebut, jangan duduk diam-diam.

“Ini tidak baik untuk Sabah. Kalau mereka tidak mahu bekerja, beri pada orang lain jangan susahkan rakyat, jangan susahkan kerajaan.

“Saya selaku menteri cukup marah sebab bukan itu saja beberapa klinik lagi tidak dapat dibina kerana masalah tanah ini,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN