Gambar:Pesawat ANKA-THS
LABUAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui No 11 Skuadron melakar sejarah baru dalam pemodenan TUDM selepas ujian penerbangan pertama pesawat ANKA-THS di Pangkalan Udara Labuan mencapai kejayaan sepenuhnya.
TUDM dalam satu kenystaan pafa Ahad berkata, ujian penerbangan tersebut telah dilaksanakan dengan jayanya selama 3 jam sebagai sebahagian daripada persediaan sebelum penyerahan aset baharu kepada pihak TUDM.
Kejayaan penerbangan sulung pesawat ANKA-THS ini adalah hasil kerjasama dan koordinasi yang jitu antara pihak MTU-P&P, MPOU, MAWILUD 2, PU Labuan, serta agensi lain seperti Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM), Bahagian Geospatial
Pertahanan (BGSP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kaji Cuaca Malaysia (MET Malaysia) .
Sistem pesawat ANKA-THS yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) bakal memperkukuh keupayaan Intelligence, Surveillance, Target Acquisition and Reconnaissance (ISTAR) TUDM khususnya dalam melaksanakan pemantauan strategik di Wilayah Timur serta kawasan kepentingan negara seperti Laut China Selatan.
Pesawat ANKA-THS ini mampu melaksanakan pemantauan secara tepat dalam pelbagai keadaan cuaca, siang dan malam, dengan keupayaan durasi penerbangan melebihi 20 jam. Pesawat ini merupakan sebahagian daripada Fasa 1 Pelan Perolehan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta selari dengan pelan pembangunan keupayaan TUDM melalui CAP55.
Dengan perolehan aset baharu ini secara langsung akan meningkatkan keupayaan TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan operasi pemantauan strategik, pengawasan maritim serta pengumpulan maklumat perisikan, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan dan kedaulatan negara.



