ADVERTISEMENTspot_img

Tubuh jawatankuasa khas untuk tangani Tanah-tanah Persekutuan di Sabah: James


BELURAN: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib mencadangkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi tujuan menangani hal berkatian Tanah-tanah Persekutuan di Sabah.


“Mengenai dengan isu tanah Persekutuan di Sabah yang masih banyak tertangguh dan belum selesai, saya mencadangkan supaya ada satu jawatankuasa khas untuk membuat pemutihan ke atas semua tanah-tanah berkenaan.


“Melalui jawatankuasa ini, kita akan dapat mengenalpasti mana tanah-tanah kerajaan yang sudah ada geran, mana yang masih berstatus Permohonan Tanah (PT) dan mana bangunan-bangunan kerajaan persekutuan yang masih belum dipohon.


“Ini perlu, supaya projek-projek yang akan datang dapat dimulakan dengan kadar yang segera,” katanya.


James yang juga merupakan Adun Sugut berkata, tiada guna juga para Ahli Parlimen, YB-YB dan pemimpin bersuara lantang di peringkat Persekutuam meminta peruntukan untuk Sabah, sedangkan isu tanah di Sabah belum selesai.


“Ini menyebabkan semua peruntukan tidak dapat diselesaikan kerana perkara asas belum selesai dan begitu juga dengan teknikal utiliti lain.


“Kita mahu supaya ada satu penyelarasan di Sabah untuk menyelesaikan isu-isu asas ini,” ujar James yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah.


Beliau berharap agar dalam tahun ini hingga tahun depan isu berkenaan tanah-tanah di Sabah diselesaikan atau diputihkan supaya tidak ada lagi tanah-tanah yang belum dipohon atau tanah-tanah yang berstatus PT.


“Ini supaya projek-projek yang diberikan oleh Persekutuan kepada negeri Sabah dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera,” jelas beliau.


Baru-baru ini, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 47 tapak tanah persekutuan di Sabah belum dipohon, manakala 120 tapak telah ada PT, sementara 219 tapak telah ada Hakmilik Berdaftar.


Justeru beliau menggesa kementerian dan jabatan berkenaan menyelesaikan segera isu pewartaan tanah persekutuan yang sudah tertangguh lama di negeri ini.


“Saya telah berjumpa dengan Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) (JKPTG) Sabah, Fazlina Binti Hj Abdul Rani di pejabat saya dan beberapa rombongan beliau serta saya juga memanggil pegawai-pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan dengan masalah-masalah Tanah Persekutuan di negeri Sabah.


“Apabila beliau telah memberi taklimat kepada saya maka saya cukup puas hati. Untuk makluman, perkara ini sebenarnya berlanjutan sekian lama sebelum beliau menjadi Pengarah JKPTG di Sabah ini memangpun sudah banyak masalah.


“Apabila saya melihat rekod-rekod yang ditunjukkan, saya nampak memang banyak tanah-tanah yang masih belum diwarta atau diberikan geran daripada kementerian-kementerian,” kata beliau.


James berkata, wujud beberapa proses yang menyulitkan serta membantutkan pewartaan dan pengeluaran geran ini seperti borang-borang tanah tersebut terpaksa dihantar ke kementerian di Persekutuan di Kuala Lumpur sebelum ditandatangani oleh Pengarah JKPTG di Sabah yang mewakili Suruhanjaya Tanah Persekutuan, diproses dan didaftarkan di daerah-daerah.


“Ini akan mengambil masa yang lama kerana proses yang melibatkan penghantaran ke kementerian di peringkat Persekutuan sebelum proses untuk pendaftaran dan seterusnya untuk proses pewartaan dan pengeluaran geran,” tegas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN