KOTA KINABALU: Seorang bekas pegawai kanan perkhidmatan awam Sabah mencadangkan agar Kerajaan Negeri segera menubuhkan sebuah Jabatan Pungutan Hasil di bawah Kementerian Kewangan Sabah bagi memperkukuh kawalan negeri terhadap sumber kewangannya.
Mantan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah, Azmi Salim (gambar) berkata, jabatan khusus itu perlu diberi mandat penuh untuk mengutip semua bentuk cukai dan hasil yang dijana dalam wilayah Sabah, termasuk yang kini dikutip oleh agensi Persekutuan.
Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja wajar, malah selaras dengan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjamin 40% daripada hasil kutipan Persekutuan di Sabah dikembalikan kepada negeri ini.
“Dengan mekanisme pemungutan sendiri, Sabah boleh menyimpan secara langsung 40% hasil yang dikutip untuk pembangunan menyeluruh negeri termasuk menaik taraf infrastruktur, pendidikan, kesihatan serta merapatkan jurang sosioekonomi dengan negeri-negeri lain,” katanya.
Dalam satu kenyataan, hari ini, jelasnya, baki 60% daripada hasil bersih boleh disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan, namun perlu disertakan caj atau yuran perkhidmatan yang bersesuaian bagi menampung kos pemungutan hasil yang dilaksanakan oleh jabatan negeri.
Azmi menegaskan sudah tiba masanya Sabah memiliki kawalan sepenuhnya terhadap sumber kewangannya sendiri.
“Penubuhan Jabatan Pungutan Hasil ini akan menjadi simbol keazaman rakyat Sabah untuk menegakkan hak-hak negeri sebagaimana termaktub dalam MA63, serta memastikan hasil bumi dan tenaga kerja negeri ini benar-benar dimanfaatkan untuk kemakmuran rakyat Sabah,” ujarnya.
Cadangan itu muncul ketika isu tuntutan 40% hasil Sabah kembali menjadi topik utama politik dan perundangan negara, susulan keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang mengarah semakan semula pemberian khas Persekutuan kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.



