Oleh: RAMLAH DAUD
▪︎Pensyarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah▪︎
DALAM mendepani cabaran dunia global yang mempunyai tahap dinamika pantas, perlu satu transformasi dilakukan khususnya dalam sistem pendidikan negara. Graduan yang diharapkan bukan hanya perlu cemerlang dalam akademik tetapi turut menguasai pelbagai kemahiran insaniah lain seperti penyelesaian masalah, berfikir secara kreatif dan kritis, mempunyai nilai keusahawanan, kemahiran berkomunikasi dan berkolaborasi yang baik. Ciri-ciri ini tidak mungkin dapat diperolehi jika corak pengajaran dan pembelajaran (PdP) hanya tertumpu kepada kaedah syarahan semata-mata.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memperkenalkan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), sebagai inisiatif transformasi kaedah PdP. Konsep SULAM yang dilancarkan pada 2019 adalah satu bentuk pembelajaran berasaskan perkhidmatan, menghubungkaitkan hasil pembelajaran kursus (CLO) dengan membawa ilmu yang dipelajari dalam bentuk teoritikal ke dalam konteks realiti sebenar. Hal ini diterjemahkan menerusi pelaksanaan projek-projek yang bersifat memberikan perkhidmatan kepada komuniti untuk menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan komuniti terlibat.

Penerapan konsep SULAM dalam sistem PdP kursus-kursus di UMS semakin giat dilaksanakan khususnya menerusi sokongan Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA), UMS. Kursus Ketaksamaan Sosial (AA20703) yang ditawarkan pada semester lepas oleh Program Sosiologi Antropologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UMS melaksanakan 13 projek SULAM bertemakan ketaksamaan digital. Para pelajar dalam kumpulan masing-masing telah bekerjasama dengan pelbagai agensi dan industri untuk memberi perkhidmatan berbentuk latihan digital kepada komuniti-komuniti yang memerlukan. Komuniti ini termasuklah kumpulan pelajar dan peniaga kecil di luar bandar, komuniti eko-pelancongan, wakil-wakil kepimpinan kampung dan juga kesatuan sekerja.
Pengalaman melaksanakan projek SULAM ini mampu meningkatkan proses pembelajaran pelajar dan dalam masa yang sama komuniti turut sama mendapat manfaat. Sebagai contoh, menerusi program memberi latihan digital kepada komuniti ini membolehkan mereka tidak tertinggal dalam arus digitalisasi, sekaligus usaha untuk mencapai salah satu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu mengurangkan ketaksamaan (SDG10) dapat direalisasikan.
Diharapkan, sokongan yang berterusan daripada pelbagai pihak untuk memastikan usaha transformasi PdP dapat dipertingkatkan, seterusnya membantu negara mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) menjelang 2030.