Datuk Haji Faimin (kedua kanan) mewakili Masidi menyampaikan sumbangan kepada Ahli Kariah Masjid Ar Ridhwan Mohimboyon di sini dalam majlis itu yang turut disaksikan Datuk Haji Raisin (kanan sekali) dan yang lain
RANAU: Toleransi kaum dan agama yang diamalkan sejak sekian lama oleh masyarakat berbilang latar belakang di Sabah merupakan model terbaik yang boleh dicontohi bagi mendukung aspirasi Sabah Maju Jaya seterusnya menerapkan nilai Malaysia MADANI dalam kalangan rakyat.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Haji Masidi Manjun berkata, toleransi kaum dan agama adalah asset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan oleh rakyat Sabah.
“Hanya dengan kestabilan dan perpaduan sahajalah yang mampu membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke hadapan sekaligus dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.
Masidi yang juga merupakan Adun Karanaan berkata demikian sempena Program Ziarah Ramadhan 1445H/2024M melalui teks ucapannya yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Bahagian PGRS Paginatan yang juga Pegawai Tugas-Tugas Khas Masidi, Datuk Haji Faimin Kamin.
Beliau mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan Selamat Berpuasa pada bulan Ramadhan yang mulia ini kepada semua saudara muslim khususnya kepada penduduk Kampung Mohimboyon, Ranau.
“Saya ingin menzahirkan rasa berterima kasih kepada pihak penganjur program terutamanya Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS), iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan sebagai pemudah cara kepada saudara-saudara Dusun Muslim kita di Sabah kerana telah sudi menjemput saya hadir bersama-sama ke majlis ini dan seterusnya memberikan ruang dan peluang beramah mesra serta menyampaikan sumbangan kepada anak-anak kita di Kampung Mohimboyon ini.

Datuk Haji Faimin (tengah) mewakili Masidi, Datuk Haji Raisin (duduk ketiga kiri) dan lain-lain semasa upacara berbuka puasa di sini semalam
“Di dalam kesempatan ini, saya sebagai Pemimpin Negeri Sabah, negeri yang mempunyai berbilang kaum dan fahaman agama, saya sangat menyanjung tinggi matlamat penubuhan PDIS ini kerana saya difahamkan bahawa walaupun PDIS ini dianggotai oleh saudara-saudara saya yang terdiri daripada Kaum Dusun yang beragama Islam.
“Tetapi khidmat sosial mereka tidak hanya terhad kepada masyarakat mereka sendiri sahaja, sebaliknya mereka juga menjadi pemudah cara kepada masyarakat lain yang berlainan kaum dan agama dalam berbagai-bagai program khidmat sosial mereka,” kata beliau.
Masidi berharap agar acara seperti ini akan terus diadakan sebagai wadah mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara masyarakat pelbagai etnik dan kaum di Sabah.
Terdahulu, Faimin dan lain-lain menghadiri Majlis Ziarah Kasih Ramadhan Masjid Kg Mohimboyon seterusnya menyampaikan sumbangan berupa wang tunai daripada PDIS kepada Ahli Kariah Masjid Ar Ridhwan Mohimboyon.
Turut hadir, Presiden PDIS Datuk Yusrie Abdullah, Pengarah Pendidikan Sabah yang juga Naib Presiden PDIS Datuk Raisin Saidin, Pemangku Timbalan Ketua Bahagian PGRS Karanaan Jupirin Hj Ruhimin, Pengerusi Masjid Ar Ridhwan Mohimboyon Ranau Johalim Eshim dan lain-lain.