KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib berkata tindakan pantas akan diambil bagi menangani masalah yang timbul ekoran insiden kebakaran yang memusnahkan Klinik Kesihatan Tangkarason, Beluran, Sabah pada sekitar tengah malam Rabu.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) dan EXCO Kesihatan Negeri Sabah berkata, tindakan pemindahan sementara perkhidmatan kesihatan akan dilakukan di lokasi yang telah dikenalpasti.
“Setakat ini, kita masih menunggu hasil siasatan dari pihak BOMBA untuk mengenalpasti punca kebakaran tersebut berlaku.
Maklumat yang diperolehi menunjukkan Klinik Kesihatan Tangkarason adalah Klinik Kesihatan jenis 6.
“Ekoran kejadian, seramai 2,738 orang penduduk di kawasan itu yang terjejas perkhidmatan kesihatan mereka, justeru hal ini perlu ditangani dengan kadar segera.
“Menurut perancangan awal hasil perbincangan wakil kampung, kita mendapat cadangan untuk menggunakan Dewan Serbaguna Kg Tangkarason sebagai klinik gantian sementara,” kata beliau.
James menambah bahawa selain Klinik Kesihatan Tangkarason, terdapat dua buah klinik yang terletak di kawasan berkenaan, iaitu Klinik Kesihatan Paitan yang terletak 29 kilometer dari Kg Tangkarason dan Klinik Kesihatan Sungai Sungai (50 kilometer).
Beliau menambah bahawa Tindakan untuk membina klinik baru akan memakan masa dalam anggaran 6 bulan bagi membina bangunan klinik sahaja.
“Jika diambil kira pembinaan kuaters kakitangan klinik ia mungkin mengambil masa dalam 9 bulan.
“Bagi jenis Klinik Kesihatan Tahap 6, peruntukan akan disalurkan berdasarkan perbincangan dan keputusan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Berkenaan hal peruntukan khas untuk membina klinik dalam kes berlaku bencana seumpama ini, ia juga bergantung kepada keputusan perbincangan JKNS dan KKM,” jelas beliau.