Kong Soon Choi, Ketua Wiramuda STARSABAH, Merangkap Timbalan Ketua Pemuda GRS.
SECARA umumnya saya bersetuju dengan kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS)- Datuk Seri Maximus Ongkili, bahawa gerakan menggantikan Ketua Menteri Sabah pada awal tahun ini bukan krisis politik, sebaliknya tindakan untuk mendapatkan kuasa.
Sudah tentunya rakyat Sabah yang memberi mandat pada GRS-BN pada PRN-16 tertanya-tanya, dalam tempoh 2 tahun kerajaan berjalan tiada sebarang kenyataan yang mempersoalkan kepimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri, melainkan semua jajaran kepimpinan yang bersama kerajaan memberi sokongan sesuai dengan aspirasi rakyat Sabah.
Kemuncaknya, apabila berhadapan dengan PRU-15, samada GRS ataupun BN memilih haluan sendiri, berbeza dengan pusat dengan menjalin kerjasama dalam pilihan raya tersebut.
Hasil kerjasama itu, BN menang 7 kerusi sementara GRS 6, manakala PH 5, Warisan 3, PKDM 1 dan Bebas 2. Melalui kerjasama itu, GRS-BN menang 52 peratus kerusi daripada 25 yang dipertandingkan.
Ironinya, tiada apa-apa isyarat, selepas PRU-15, apabila semua parti di Sabah kecuali PN menyokong Kerajaan Perpaduan Persekutuan, malah lepas sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah pada 24 November 2022, 3 hari selepas itu, 7 ADUN Pakatan Harapan membuat kenyataan menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri sehingga penggal ke-16 DUN Sabah tamat.
Dengan sokongan tersebut, kerajaan mendapat sokongan 2/3 ADUN Sabah.
Malangnya, pada minggu pertama bulan Januari 2023 dikesan ada gerakan mengumpulkan sokongan yang didalangi Ketua Umno Sabah berpakat dengan Datuk Shafie Apdal dan Datuk Peter Anthony menggantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Kesan pada gerakan tersebut Setiausaha Agung GRS- Datuk Seri Masidi Manjun mengeluarkan kenyataan media pada 4 Januari bahawa sokongan pada Ketua Menteri kekal kukuh.
Keadaan semakin meruncing pada petang 6 Januari apabila bakal diadakan sidang media antara Shafie dan Bung Moktar di sebuah hotel di Kota Kinabalu, akan tetapi sidang media itu dibatalkan di saat-saat akhir tanpa penjelasan.
Ekoran pembatalan sidang media itu, pada malam itu juga Umno Sabah mengadakan mesyuarat, dan keputusannya diumumkan oleh Datuk Bung Moktar menjelang tengah malam, bahawa 13 ADUN Umno/BN menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Namun, tindakan Bung tersebut, tidak mendapat sokongan majoriti, apabila 5 ADUN Umno dan 7 PH membuat kenyataan bahawa mereka kekal menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Menerusi kenyataan 12 ADUN Umno dan PH tersebut, Hajiji kekal dengan sokongan 44 ADUN, memandangkan 30 ADUN GRS, 1 bebas dan 1 Pas kekal mempertahankan status quo.
Sokongan pada Hajiji sebagai Ketua Menteri dibuktikan pada Sidang Khas DUN Sabah pada 10 Januari, apabila kesemua ADUN tersebut menyokong 2 Rang-Rang Undang berkaitan kawal Selia Gas dan Tenaga.
Kenyataan saya ini, untuk penjelasan pada rakyat umum, punca-punca mengapa semasa rombakan kabinet negeri pada 11 Januari menggugurkan beberapa ADUN yang terlibat dengan gerakan menumbangkan kerajaan negeri.