GAMBAR: DITAHAN…. ketiga suspek yang didakwa ketika berada di perkarangan Mahkamah Majestrit Labuan, pagi ini(Khamis).
LABUAN: Tiga kakitangan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah yang berpakalan di sini ditahan reman lima hari bermula hari ini (Khamis) bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah.
Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad mengeluarkan perintah reman itu selepas permohonan dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Labuan Mohd Akmal Hakim Yusof.
Ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 59 dan 57 itu ketika ini masing-masing bertugas di Kota Kinabalu dan Lahad Datu, ditahan di pejabat SPRM Labuan, tengah hari kelmarin (Rabu) selepas keterangan mereka diambil.
Menurut pendakwaan, mereka didakwa menerima antara RM3,000 dan RM5,000 daripada syarikat pengusaha pelancongan antara 2017 dan 2019 bagi setiap pengeluaran lesen Kapal Kecil Berlesen Sabah untuk penambahan penumpang tanpa mengikut prosedur permohonan penambahan penumpang yang sebenar.
Menurut Mohd Akmal pihaknya akan membuat siasatan untuk mengenal pasti saksi yang terlibat dalam penyediaan dan pengeluaran lesen berkenaan.
Ketiga tiga mereka disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.



