32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Tiga bersaudara tinggal sehelai sepinggang, tidak tahu rumah terbakar

SERAH…. Bashir menyerahkan bantuan kilat dari  pihak APM kepada Rosidah.

LABUAN: Seperti kebiasaannya tiga bersaudara yang menjadi rutin kehidupan mereka untuk keluar mencari rezeki menangkap ikan pada waktu subuh tidak menyangka akan tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di simpang  tiga Kampung Lajau musnah 100 peratus dalam satu kebakaran awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.23 pagi itu, ketiga tiga mereka yang berstatus bujang, Abdul Halim Abdul Dahlan, 40, Rosidah Said, 46, dan Jasni Said, 49, tidak mengetahui rumah mereka (dua buah)  yang terletak dilereng bukit terbakar sehinggalah mereka pulang dari menangkap ikan sekitar jam 9 pagi.

“Kami tidak tahu yang rumah kami terbakar,  kami hanya tahu bila pulang dari menangkap ikan dan diberitahu oleh jiran yang rumah kami sudah terbakar…. tiada apa yang dapat kami selamatkan termasuk kad pengenalan kami yang disimpan di rumah” kata salah seorang mangsa  ketika ditemui di balai raya Kampung Lajau ketika  menerima bantuan segera dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

TINJAU…. Bashir (kanan) bersama Fadzilah ketika meninjau  lokasi kebakaran rumah di simpang tiga Kampung Lajau, pada Sabtu.   

Sementara itu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias yang meninjau lokasi kebakaran menzahir rasa simpati dan sedih atas bencana yang menimpa ketiga-tiga mangsa berkenaan.

Beliau berharap ketiga-tiga mereka tabah menghadapi ujian tersebut.Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan memberi jaminan untuk menempatkan mereka  sementara  di rumah transit Perbadanan Labuan.

Beliau juga akan berbincang dengan pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Perbadanan Labuan termasuk pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu mangsa mendapatkan rumah baharu.

Turut bersama Bashir dalam tinjuan itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Fadzilah Mahmud, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, Anshary Matarsad dan Ketua Unit Pembangunan Asnaf MAIWP Labuan, Ustaz Mohd Syukur Norfini dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan.

SERAH…. Bashir menyerahkan bantuan kilat dari  pihak APM kepada Rosidah.

TINJAU…. Bashir (kanan) bersama Fadzilah ketika meninjau  lokasi kebakaran rumah di simpang tiga Kampung Lajau, pada Sabtu.   

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN