KOTA KINABALU: Ahli dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan beberapa perkara termasuk tidak menyambung darurat bagi membuka semula Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), percepatkan proses vaksinasi dan permudahkan bantuan rakyat untuk dibawa menghadap Agong.
Cadangan itu dikemukakannya kepada Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau yang dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, pada Isnin minggu depan.
Ewon yang juga Naib Presiden UPKO berkata, darurat mesti ditamatkan pada pada tarikh akhir pelaksanaan Ordinan Darurat Ogos ini kerana pelaksanaan darurat untuk memberi tumpuan khas menangani pandemik Covid-19 di negara ini ternyata gagal.
“Saya berpendapat, perundangan sedia ada sudah cukup untuk menangani Covid- 19 seperti yang dilaksanakan kerajaan tahun lalu,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya Parlimen dan DUN dibenarkan bersidang bagi membolehkan semua wakil rakyat terlibat dalam proses semak dan imbang dalam menangani Covid-19 di negara ini.
“Jawatankuasa Parlimen dan DUN boleh ditubuhkan sebagai “kabinet bersama” untuk menangani Covid19 dan semua Wakil Rakyat perlu dilibatkan dalam proses semak dan imbang.
“Malaysia satu satunya negara yang menutup Parlimen dan DUN untuk mengurus Covid. Bagaimanapun strategi ini ternyata gagal dan menjadi bahan jenaka negara lain,” katanya.
Ewon berkata, semua wakil rakyat sama ada daripada parti kerajaan atau pembangkang harus diberi peranan sama rata membantu rakyat di kawasan masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dari segi proses vaksinasi, beliau mencadangkan agar ia dipercepatkan bagi membolehkan lebih ramai rakyat negeri ini menerima suntikan vaksin.
Bagi mencapai matlamat itu, beliau mencadangkan agar pusat pemberian vaksin di bandar dan pekan diperbanyakkan serta mengadakan program outreach di luar bandar di mana petugas kesihatan masuk kampung yang jauh dari pusat bandar dan memberi vaksin di kampung berkenaan.
“Benarkan juga syarikat korporat besar misalnya Petronas, Shell, Top Glove, bank-bank dan syarikat korporat besar lain membuat perolehan vaksin sendiri di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan benarkan mereka bekerjasama dengan panel-panel kesihatan untuk memberi vaksin kepada pekerja syarikat-syarikat mereka. Ini akan mempercepatkan proses vaksinasi.
“Antara masalah yang melambatkan proses vaksinasi rakyat ialah kerana hanya pihak kerajaan yang boleh membuat perolehan vaksin, sedangkan jika pihak lain yang mampu dapat dibenarkan, maka ia boleh mempercepatkan vaksinasi rakyat.
“Selain itu, kampus Universiti perlu dijadikan pusat vaksinasi untuk warga kampus (pentadbir, pensyarah, staf, pelajar) supaya mereka tidak bersaing dengan rakyat di luar kampus untuk mendapatkan vaksin,” katanya.
Dari segi bantuan rakyat, Ewon mencadangkan kepada kerajaan supaya melaksanakan moratorium secara automatik kepada syarikat dan individu.
Katanya moratorium itu seharusnya dilaksanakan tanpa syarat dan secara menyeluruh.
“Benarkan juga pencarum mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa birokrasi untuk meringankan bebanan rakyat yang kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh PKP.
“Saya juga berharap agar kerajaan memberikan bantuan bakul makanan kepada setiap isu rumah secara menyeluruh dan bukannya terhad kepada mereka yang tersenarai dalam e-Kasih, di bawah Jabatan Kebajikan atau yang dikuarantin wajib kerana ramai isi rumah terkesan namun tidak tersenarai sebagai penerima bantuan bakul makanan,” katanya.
Dari segi pemberian laptop kepada para pelajar, Ewon mahu kerajaan memberikan laptop kepada para pelajar sekolah yang layak.
Selain itu katanya, kerajaan juga harus mempercepatkan pembinaan menara telekomunikasi di kawasan luar bandar kerana banyak kampung terpencil tidak mendapat liputan internet.
“Liputan internet yang baik memudahkan pelajar belajar secara dalam talian,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan membatalkan kompaun yang tidak masuk akal kerana ia membebankan rakyat yang sedia terbeban dengan masalah kewangan.
Bagi projek-projek peruntukan khas, Ewon mencadangkan supaya ia ditangguhkan sementara waktu dan menyalurkan peruntukan itu untuk program membantu rakyat.
“Bajet setiap kementerian boleh disusun semula supaya projek tidak mendesak di kementerian ditangguh untuk membolehkan peruntukan tersebut digunakan membantu rakyat dan mempercepatkan program vaksinasi.
“Untuk tujuan ini, belanjawan yang telah diluluskan boleh dibentangkan semula di Parlimen, sebab itu Parlimen perlu dibuka semula dan adalah menjadi tanggungjawab semua Ahli Parlimen meluluskan penyusunan semula belanjawan setiap kementerian,” katanya.
Dari segi urustadbir PKP, Ewon mencadangkan agar semua menteri, agensi yang bertanggungjawab dalam hal PKP termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, Menteri Kanan Keselamatan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan menteri lain yang berkaitan mengadakan sidang media atau pengumuman bersama secara serentak bagi mengelak percanggahan maklumat – Ehsan Nabalu News