Chai Tze Khee menerima hadiah pada majlis tersebut.
LABUAN: Tiara Labuan Hotel, sebuah hotel bertaraf lima bintang dinobat naib juara kategori hotel sempena Anugerah Landskap Negara 2025 anjuran Kementerian Perumahan melalui Jabatan Landskap Negara baru baru ini.
Majlis telah berlangsung di Taman Bandar, Pasir Gudang, Johor Bahru bersempena Sambutan Hari Landskap Negara dan telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Che Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Sementara itu, The Gardens Sangri- LA Rasa Penang dinobat juara, manakala tempat ketiga dimenangi Holiday Villa Resort Langkawi.
Kejayaan Tiara Hotel Labuan pini menjadi bukti bahawa landskap yang dirancang dengan teliti dan berjiwa tropika mampu menarik perhatian juri serta memberikan ketenangan kepada para pengunjung.

Mendiang Kenneth Koh yang berjaya mengangkat Tiara Hotel Labuan sebagai naib johan Landskap Negara 2025.
Reka bentuk landskap Tiara Labuan Hotel dinilai berdasarkan keunikan konsep tropikalnya yang menampilkan pelbagai spesies pokok bunga serta kolam ikan yang mencipta suasana damai dan menyegarkan. Elemen-elemen ini menyumbang kepada pengalaman menginap yang menenangkan bagi para tetamu.
“Kemenangan ini amat bermakna buat kami di Tiara Labuan Hotel. Ia menjadi penghargaan kepada mendiang Kenneth Koh yang telah mencurahkan usaha gigih dalam persiapan menghadapi pertandingan ini dan mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam landskap sejak Tiara Labuan Hotel masih dalam pembinaan lagi.
“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada puan Betty, salah seorang pemilik Tiara Labuan Hotel, serta seluruh pengurusan dan kakitangan yang meneruskan usaha beliau semasa lawatan penilaian oleh pihak juri bulan lalu,”kata Pengurus Besar Tiara Labuan Hotel,Chai Tze Khee.
Katanya, kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Tiara Labuan Hotel di peringkat kebangsaan, malah turut mengangkat imej Labuan sebagai destinasi pelancongan yang menarik sebuah pulau yang indah, bersih, dan terkenal dengan makanan laut yang enak serta harga yang berpatutan.



