27.2 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mei 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

TERUJA DAN SERONOK BELAJAR DI PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMAJUAN PELAJAR UMS

CATATAN PELAJAR : Marion Anak Riky  
Mahasiswa tahun pertama, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.


 
PESAN jurulatih saya, “gunakanlah 14 minggu ini dengan sebaiknya dan ambil sebanyak ilmu, kemahiran dan pengalaman daripada kursus ini. Berkawanlah dan buka hati kalian. Hanya 14 minggu sahaja’.


Sejujurnya, semasa semester 2 baharu bermula, saya sudah mula tetekan kerana harus menyertai kursus Kokurikukulum berkredit (Kokum) pada hari Sabtu. Dengan keadaan kelas yang padat, kerja yang banyak, ditambah pula Kokum pada hujung minggu. Biasalah, manusia jarang sekali yakin dengan peribahasa “Don’t Judge a book by its cover.”


Selepas saya mendaftar dalam kursus Kokurikulum BAKTISISWA (Kepimpinan dan Motivasi) di Pusat Kokurikukum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) saya sudah mempersiapkan mental untuk mengikuti kursus tersebut pada hujung minggu. Selepas perjumpaan pertama, saya menjadi teruja dan seronok. Saya dapati pensyarah sangat memahami pelajar, pembelajaran pula adalah secara menyeluruh dan menyentuh pelbagai aspek penghidupan.


Rakan-rakan yang mengambil kursus yang sama juga sentiasa bekerjasama kerana semua pandangan dan pendapat kami dipertimbangkan. Kami rasa dihargai. Perspektif dan tanggapan saya bahawa kursus Kokum berkredit adalah  terlalu berat kini berubah menjadi seronok minggu demi minggu.


Saya sentiasa nantikan perjumpaan kursus Kokum berkredit kerana saya berpeluang untuk berinteraksi dengan rakan-rakan universiti melalui platform itu secara santai dan terbuka. Pendekatan yang digunakan oleh jurulatih dalam mendidik kami mewujudkan suasana kekeluargaan dan menjadi faktor utama yang mengubah pandangan saya terhadap erti sebuah pembelajaran.


Belajar tidak semestinya kita menunduk membaca buku sahaja. Dalam era permodenan kini dan kebetulan dilanda pandemik COVID-19, pembelajaran cara lama sangat susah untuk diimplementasikan. Syukur, dalam kursus Baktisiswa kami diberikan peluang untuk sentiada menyuarakan hasrat dan kegusaran yang terbuku di hati.


Pengalaman paling seronok ialah mengendalikan aktiviti SPRINT secara dalam talian. Walaupun banyak dugaan kerana ini adalah perkara baharu, malah terpaksa bekerjasama tanpa bersemuka namun kami telah berjaya melaksanakan program tersebut dengan komitmen semua rakan dalam kursus. Sebagai pengarah progam SPRINT saya bukan sahaja telah belajar mengendalikan program tersebut tetapi saya mendapat pengalaman berharga memimpin diri saya dan rakan-rakan lain serta cara terbaik bekerja dalam kumpulan.


Peluang menganjurkan aktiviti atas nama UMS menyebabkan kami benar-benar menjiwai semangat sebagai warga universiti tercantik di Asia Tenggara ini walaupun saya yang berada di Sawarak pada masa ini belum berpeluang memijakkan kaki ke sana.


Pengalaman saya yang berharga juga ialah dapat mencapai impian saya untuk menghasilkan karya kreatif apabila PKPP UMS memberi peluang memuatkan sajak saya bertajuk Gerimis Alam Terakhir dalam Antologi Puisi Pencinta Bumi (https://anyflip.com/wsfd/bvua) sempena Sambutan Hari Bumi Sedunia terbitan pusat itu.


Satu semester telah berlalu, sejujurnya saya rindu, tetapi begitulah kehidupan, yang bertemu pasti akan berpisah tetapi kenangan yang dibina bersama tetap segar dalam ingatan. Terima kasih PKPP UMS.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN