Datuk Abidin menerima cendera kenangan daripada Pengerusi Penganjur, Laurah Galibin
RANAU: Masyarakat di negeri ini disaran agar terus mengaplikasi konsep Keluarga Malaysia dalam kehidupan sebagaimana yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-9, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos 2021.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN N38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir berkata ketika konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan, negara berdepan isu pandemik covid-19 yang memerlukan permuafakatan semua pihak untuk menanganinya.
Menurutnya, Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ juga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.
Dalam erti kata yang lain ‘Keluarga Malaysia’ merujuk kepada masyarakat yang mengamalkan kehidupan aman dan damai serta bersatu padu manakala frasa ‘Teguh Bersama’ mendukung maksud kekuatan, kesepaduan yang dicapai secara kolektif dan mampan.
Konsep ini bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum serta mengajak semua rakyat sentiasa bersama dalam sebuah keluarga yang utuh. Melihat kepada kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia, konsep ini sangat bertepatan dan wajar diaplikasi terus oleh semua lapisan masyarakat demi keharmonian.
Berucap merasmikan Hari Keluarga Kampung Kinapulidan yang bertemakan ‘Keluarga Kinapulidan, Keluarga Malaysia’ di dewan kampung tersebut baru-baru ini, Datuk Abidin menyifatkan penganjuran dan tema program tersebut sangat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia dan tema Hari Kebangsaan.
“Syabas kepada Pengerusi JPKK, Ketua Kampung, Ahli Jawatankuasa Pelaksana dan semua penduduk kerana dapat menghayati serta mengaplikasi konsep Keluarga Malaysia dan tema Hari Kebangsaan dalam penganjuran program ini. Sesungguhnya kejayaan menganjurkan program pada hari ini tidak akan tercapai tanpa kesatuan yang teguh, persefahaman dan permuafakatan yang baik di kalangan penduduk,” ujar Datuk Abidin.
Terdahulu, turut menyampaikan ucapan aluan ialah Laurah Galibin (Pengerusi Pelaksana/AJK Biro Hal Ehwal Wanita JPKK), Ismail Galibin (Ketua Kampung), Tiwol Alantas (wakil Pejabat Parlimen) dan Narkibin Nasir (Pengerusi JPKK).
Hadir sama ialah Japli Sigal (CDO Paginatan), Juis Konsuling (Setiausaha Bahagian STAR Paginatan), Helary Salmon (Pemaju Mukim Nalapak) dan Faizul Semitah (Pemaju Masyarakat).