Masidi menyampaikan sijil apresiasi kepada salah seorang penerima di majlis itu
RANAU: Para kakitangan awam di daerah ini digesa agar menerapkan budaya kecemerlangan demi meneruskan pencapaian terbaik yang ditunjukkan oleh semua anggota sector tersebut selama ini.
Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Hj Masidi Hj Manjun berkata sikap cemerlang yang ditampilkan oleh anggota awam ini akan menjurus kepada penghasilan individu-individu cemerlang dari daerah Ranau.
“Ranau suatu tempat yang unik bukan sahaja dari segi cuaca dan lokasi tetapi sikap penduduk Ranau yang terpuji di kalangan warga Malaysia secara amnya, dengan pelbagai pencapaian yang dapat dibanggakan.
“Ini adalah penting kerana sikap cemerlang yang kita tampilkan akan menjurus kepada penghasilan individu-individu cemerlang dari daerah Ranau, bukan untuk mendabik dada tetapi supaya kita dapat seterusnya cemerlangkan negeri Sabah.
“Terutama sekali bagi orang-orang Islam, jika niat kita untuk cemerlang itu baik, maka kita buat yang terbaik dan Insyallah usaha kita dalam apa jua pekerjaan kita diangkat sebagai amal ibadat dunia dan akhirat.
Inilah apa yang Tuhan mahukan daripada kita, iaitu menjadi cemerlang dalam apa saja panggilan. Menjadi ibu bapa yang baik, pekerja yang baik tanpa kisah apa tahap pekerjaan kita, yang penting kita lakukan dengan baik,” katanya.
Masidi mengajak semua kakitangan awam Persekutuan dan negeri di sini untuk teruskan legasi ini di Ranau agar dapat melahirkan pelapis yang terbaik khususnya dalam sektor perkhidmatan awam.
Beliau turut menegaskan bahawa terdapat keperluan yang khusus di kalangan penjawat awam untuk merangkul kecemerlangan sebagai satu pasukan.
“Ada cara yang lebih baik untuk cemerlang di mana walau kita berasal dari jabatan yang berlainan, anggap saja kita ini punyai satu tujuan dan satu matlamat.
“Jangan suka beza-bezakan antara jabatan kerana kesannya sama juga dan kita berkhidmat kepada orang yang sama iaitu para penduduk Ranau. Justeru mesti ada sikap keperdulian di kalangan kakitangan antara jabatan.
“Belajarlah untuk bekerja sebagai satu pasukan dan percayalah penyelesaian akan dapat diperolehi dengan lebih mudah,” katanya.
Tambah beliau, niat yang baik dalam pekerjaan khususnya yang melibatkan perkhidmatan awam adalah penting, dan ini termasuklah untuk jauhkan diri daripada salah guna kuasa, korupsi dan sebagainya.
“Justeru, fokuslah kepada kecemerlangan pada semua perkhidmatan kita, dan inilah yang saya kerap tekankan pasal budaya cemerlang, budaya cemerlang, budaya cemerlang.
“Berita baiknya ialah, semua orang Ranau adalah cemerlang, cuma perlu fokus dan sedikit tuning kepada bagaimana kita praktikkan budaya cemerlang yang sebenarnya sudah menjadi budaya kita di Ranau.
“Oleh itu kita hanya perlu perbaharui dan terapkan budaya ini Dalam diri kita untuk menjadikan diri kita cemerlang kerana kita tidak mempunyai kekurangan jika dibandingkan dengan orang lain,” kata beliau.
Masidi yang juga merupakan ADUN Karanaan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Apresiasi Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan Daerah Ranau yang diadakan di Hotel Perkasa Kundasang pada hari Khamis.
“Saya amat teruja dengan upacara kita hari ini dan bertekad untuk hadir, bukan sahaja untuk berjumpa tetapi sebagai symbol penghargaan saya secara peribadi di atas khidmat cemerlang para kakitangan awam khususnya di Daerah Ranau,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggang, Mantan pegawai-pegawai Daerah Ranau, Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan Daerah Ranau, pemimpin-pemimpin masyarakat dan para pemegang adat dan lain-lain.