Ghani (kedua dari kanan) bersama Peter (kanan), Syaheddrul (kiri) dan Morris (kedua dari kiri) menuai padi sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan itu.
NABAWAN: Tema sambutan pesta kaamatan pada tahun ini “Kaamatan, Melangkaui Keterjaminan Makanan” memberi mesej yang sangat bermakna khususnya kepada masayarakat negeri Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, ia menyedarkan masyarakat agar sentiasa mensyukuri segala nikmat yang dianugerahkan oleh yang mahakuasa.
“Harapan kita semoga sambutan pesta kaamatan pada tahun ini memberi makna dan silaturahim antara kita semua di daerah Nabawan ini akan terus terjalin erat” katanya semasa berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan di dewan terbuka Majlis Daerah di sini pada Sabtu.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata sememangnya tradisi
atau budaya dan kepelbagaian masyarakat di negeri ini mempunyai keunikan dan landasan masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan terus bersatupadu.
Pada masa sama Ghani berharap agar masyarakat suku kaum Murut khususnya di daerah ini boleh menjadi contoh yang baik dalam meraikan kepelbagaian sambutan perayaan-perayaan utama yang bertaraf peringkat nasional seperti Pesta Kaamatan ini.
“Janganlah kita melihat apa-apa perbezaan yang wujud
menjadi penghalang untuk sama-sama meraikan dan
menghormati sambutan perayaan-perayaan yang ada di negeri kita, keharmonian dan kesejahteraan mestilah dijaga dan ia merupakan tanggungjawab kita semua” jelasnya.
Mengenai dengan pembangunan di daerah ini Ghani berkata, sebenarnya banyak usaha yang sedang giat dilaksanakan dan ada yang masih dalam perancangan.
“Saya dan rakan- rakan, pemimpin-pemimpin masyarakat di bawah kerajaan negeri sentiasa bertungkus-lumus dan memperhebatkan usaha untuk memastikan daerah Nabawan tidak terpinggir atau tersisih dalam mendapatkan hak-hak pembangunannya terutama dari segi sosial dan ekonomi” katanya.
Menurut Ghani, selama beliau menjadi wakil rakyat di kawasan ini beliau akan terus berusaha mencuba yang terbaik dan memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan agar boleh memberi manfaat kepada masyarakat di daerah ini supaya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Keutamaan saya sudah semestinya pembangunan dari segi infrastrukutur asas, prasarana awam dan dalam bidang pertanian yang mana pada hemat saya ianya akan memberi manfaat atau nilai tambah kepada aktiviti ekonomi mahupun sosial masyarakat di sini” jelasnya lagi.
“Sebagai contoh katanya, beliau seringkali menyuarakan keperluan penaiktarafan jalan-jalan bekas balak yang telah menjadi jalan perhubungan utama atau jalan pertanian orang kampung.
Selain itu tambahnya, atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi LKTNS beliau juga akan memastikan aktiviti pertanian yang boleh memberi manfaat kepada para peneroka di daerah ini boleh dikembangkan yang mana perkara ini dapat meningkatkan pendapatan isi rumah.
“Disamping itu, saya sangat komited untuk melaksanakan pembasmian kemiskinan di daerah kita melalui pelbagai program- program yang dilancarkan oleh kerajaan negeri Sabah” katanya.
Dalam pada itu Ghani berkata, beliau juga tidak ketepikan kepentingan soal pembangunan modal insan dari pelbagai sudut, terutama mengenai aspek pendidikan dan sukan.
“Kita akan terus berusaha memastikan anak-anak kita di daerah ini akan terus mendapat akses pendidikan yang sewajarnya seperti mendapat peluang bantuan-bantuan kerajaan yang patut diterima oleh mereka akan sampai kepada mereka” katanya lagi.
Dalam soal kebajikan katanya, beliau akan pastikan jentera kerjanya sentiasa bersedia melakukan tugas untuk memaksimakan kerja-kerja kebajikan.
“Berkaitan keusahawanan, saya amat berharap agar bidang ini akan terus berkembang bukan sahaja dari aspek aktiviti usahawan berasaskan pertanian, tetapi kita juga mahu bidang-bidang yang lain akan terus berkembang maju di daerah ini” tambahnya.
Dalam perkembangan lain Ghani berkata daerah Nabawan mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai contoh, dalam aspek sekuriti pengawalan sempadan.
“Kita juga antara kawasan tumpuan yang strategik kerana kawasan daerah kecil Pagalungan yang bersempadan dengan Kalimantan Indonesia, keadaan ini menggambarkan kita perlu bersedia mendepani kesan langsung mahupun tidak langsung terhadap aktiviti ekonomi dan sosial yang akan berlaku di kawasan kita” katanya.
Dalam pada itu Ghani menyeru agar kepelbagaian, keunikan tradisi atau budaya dan keindahan alam semulajadi di kawasan ini haruslah sentiasa dipelihara dan dipulihara.
Hadir sama Pegawai Daerah Nabawan Peter Jiton selaku Pengerusi sambutan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Nabawan, Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan Hasinin Kinsim, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah Syaheddrul R.Joddari, Timbalan Ketua Bahagian PBRS Nabawan mewakili Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.