26 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Tema hijrah tepat pada masanya: James

JAMES ketika berucap merasmikan sambutan Maal Hijrah 1446H peringkat daerah Paitan di sini pada Jumaat malam


PAITAN: Tema hijrah tahun ini, “Al Falah Pemacu Malaysia Madani”, mengandung makna yang mendalam tentang kebahagiaan, kejayaan, dan pembangunan yang mampan kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Negeri Sabah, Datuk James bin Ratib.

Beliau yang juga merangkap Adun N.48 Sugut berkata, Al Falah menjadi sumber inspirasi bagi semua untuk berusaha mencapai matlamat yang lebih besar dalam pembangunan negara.


Sementara itu, katanya, Malaysia Madani merujuk kepada visi pembangunan bandar yang berdaya maju dan berkesan, suatu cita-cita yang semua harus berusaha untuk capai demi kebaikan bersama.


“Dengan tekad yang kuat dan kegigihan dalam berusaha, seseorang atau masyarakat yang sebelumnya mengalami kemiskinan dapat mengubah nasib mereka dan mencapai kehidupan yang lebih sejahtera.


“Proses ini tidak hanya melibatkan usaha individu, tetapi juga sokongan dan bantuan dari masyarakat dan pihak berkuasa. Melalui perubahan sikap dan tindakan yang positif, hijrah dari kemiskinan kepada usaha yang lebih berjaya dapat tercapai.


“Dalam konteks tema ini, kita diajak untuk merenungi perjalanan hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang penuh dengan ketabahan, keberanian, dan keberkatan.


“Begitu juga, kita perlu mengambil iktibar daripada hijrah ini untuk mengubah keadaan yang lebih dengan berusaha melalui usaha yang berterusan dan tindakan yang positif,” katanya.


Menurut James lagi, dengan kesungguhan dan keazaman, semua orang dapat mencapai kebahagiaan dan kejayaan yang diimpikan, serta menjadi pemacu pembangunan negara yang madani.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan Maal hijrah peringkat daerah Paitan bagi tahun 1446H/2024M yang diadakan di sini pada hari Sabtu.


Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir pada majlis itu, dalam rangka program sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Paitan bagi tahun 1446H/2024M.


“Saat-saat seperti ini memungkinkan kita untuk merenungkan kembali peristiwa penting dalam sejarah Islam, seperti hijrah Rasulullah SAW, yang penuh dengan hikmah dan pengajaran yang berharga bagi kita semua.

James (kiri) ketika menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Paitan kepada Ayunok bin Daud


“Sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, saya merasa penting untuk mengaitkan makna hijrah Nabi Muhammad SAW dengan tugas dan tanggungjawab kementerian ini.


“Hijrah Rasulullah SAW adalah simbol keberanian, ketabahan, dan komitmen untuk mencapai kebaikan dan kejayaan, nilai-nilai ini yang menjadi landasan bagi kementerian dalam menjalankan tugas untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Sabah khususnya di daerah Paitan,” katanya.


Memetik hadis dari Abu Hurairah, James berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Jika kiamat datang sementara di tangan salah seorang dari kalian ada benih pohon kurma, maka tanamlah benih tersebut jika kalian mampu.” (Hadis Riwayat Bukhari)


“Hadis ini mengisahkan tentang kemajuan walaupun situasi yang nampaknya tidak menguntungkan.
“Dalam konteks hadis ini, Rasulullah SAW menganjurkan agar seseorang tetap melakukan tindakan yang bermanfaat, seperti menanam pohon kurma ataupun tanaman lain, meskipun kiamat sudah dekat.


“Ini menunjukkan bahwa setiap usaha yang baik, bahkan dalam keadaan sulit pun tetap bernilai dan penting di sisi agama.


“Hadis ini mengajarkan kita untuk tetap berusaha dan terus positif meskipun situasi banyak rintangan,” katanya.


Sementara itu, James berkata, di Paitan masyarakat mungkin menghadapi berbagai rintangan seperti keterbatasan infrastruktur atau sumber daya yang lain.


Menurutnya, pesan dari hadis ini mendorong penduduk kampung untuk terus berupaya dan bersama-sama dengan kepimpinan dari segi pembangunan dan kemajuan bagi daerah paitan yang kita cintai ini.


Dalam konteks ini, beliau berharap program sambutan Maal Hijrah ini dapat menjadi titik tolak bagi peningkatan pembangunan daerah Paitan, dari daerah kecil menjadi daerah penuh dengan potensi dan peluang yang mendatang.


“Dengan usaha bersama dan kesungguhan ini, saya yakin bahawa kita akan lebih banyak membina manfaat dan kemudahan-kemudahan asas kita perolehi disetiap penjuru di daerah Paitan,” katanya.

Dari kanan … Ustaz Hadi, Datuk James, Hafiz Hamidun dan Muhammad

Dalam sambutan kali ini juga, James mengumumkan kehadiran seorang penyanyi terkenal, Hafiz Hamidun, yang akan memberikan penampilan khas dalam seni suara dalam acara ini.


Hafiz Hamidun, selain dikenali sebagai seorang penyanyi yang berbakat, juga adalah seorang penulis lirik lagu-lagu islami dan memiliki keahlian dalam menyampaikan terapi zikir dengan penuh keinsafan dan keindahan.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Hafiz Hamidun atas penampilan khasnya kerana dapat menerima undangan kami yang di kejauhan ini, serta kepada semua pihak yang telah turut serta menjayakan acara ini.


“Semoga pesan-pesan kebaikan yang telah disampaikan dapat membawa manfaat kepada kita semua.


“Semoga tema “Al Falah Pemacu Malaysia Madani” yang telah kita bahas hari ini dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada kita semua untuk terus berusaha dan berhijrah ke arah kehidupan yang lebih baik,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN