ADVERTISEMENTspot_img

Tekanan Media Sosial Boleh Jejas Kesihatan Mental Golongan Muda

Sarah (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Lew (tengah).

KOTA KINABALU: Tekanan Media sosial boleh menjejaskan kesejahteraan emosi serta kesihatan mental masyarakat, khususnya golongan muda. 


Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE), Datuk Dr. Abd Kahar Abd Asis berkata, walaupun media sosial menyediakan pelbagai manfaat termasuk pembelajaran, komunikasi dan perkongsian pengalaman, penggunaannya perlu dilakukan secara bijak dan bertanggungjawab.


“Media sosial membuka ruang untuk belajar, berhubung dan berkongsi pengalaman. Namun, pada masa yang sama, ia boleh membawa cabaran seperti tekanan sosial, perbandingan diri dan buli siber yang mempengaruhi kesejahteraan mental.


“Dalam usaha memperkukuh kesihatan mental, kita bukan sahaja perlu melihat kepada diagnosis, rawatan atau statistik, tetapi juga memberi ruang untuk mendengar suara dan pengalaman sebenar individu yang melalui cabaran kesihatan mental.


“Apabila kita mendengar dengan empati dan tanpa prejudis, kita dapat memahami keperluan mereka dengan lebih baik sekali gus membantu menambah baik perkhidmatan serta mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong,” katanya dalam ucapan sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Hospital Tahun 2026 di Auditorium HQE, di sini pada Jumaat.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HQE, Dr. Lew Sheau Voon.


Menurut beliau, kesihatan mental perlu dibicarakan secara terbuka, bertanggungjawab dan tanpa stigma bagi mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin serta memahami cabaran dihadapi individu terlibat.


Dalam pada itu, Kahar berkata kesejahteraan mental warga hospital turut perlu diberikan perhatian memandangkan beban tugas dan tanggungjawab petugas kesihatan boleh menyebabkan tekanan.


“Sehubungan itu, budaya kerja yang saling menyokong, bersedia mendengar dan menggalakkan rakan sekerja mendapatkan bantuan apabila diperlukan perlu terus diperkukuh.


“Saya berharap semua peserta dapat membawa pulang satu mesej penting bahawa kesihatan mental perlu dibicarakan secara terbuka, bertanggungjawab dan tanpa stigma.


“Media sosial pula perlu dimanfaatkan sebagai medium yang membina, bukannya ruang yang menjejaskan kesejahteraan diri atau orang lain,” tambahnya.


Sambutan bertemakan ‘Lived Experience Heard: Real Voices, Real Change’ itu turut menampilkan forum bertajuk ‘Di Sebalik Skrin: Media Sosial, Kesihatan Mental dan Realiti Kehidupan’ yang menghimpunkan pakar psikiatri serta pempengaruh media sosial tempatan.


Forum berkenaan menampilkan Pakar Psikiatri, Dr. NityaPriya Palanivail bersama pempengaruh media sosial tempatan, Jo-Anna Sue Henley Rampas dan Bonyventure Hee, manakala Geoallen George sebagai moderator.


Kira-kira 180 peserta terdiri daripada kakitangan hospital, guru, pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi sekitar Kota Kinabalu menghadiri program anjuran Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HQE itu.


Turut hadir, Ketua Kepakaran Psikiatri Negeri, Dr. Chua Sze Hung serta Pengerusi Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Hospital Tahun 2026, Dr. Sarah Marilyn Amin./Penerangan–

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN