Siap….beginilah keadaan gabion yang sudah siap dipasang di tebing yang terhakis yang hampir meranapkan salah sebuah rumah penduduk.
KENINGAU:Pembinaan benteng Gabion bagi menambak tebing anak sungai Kikiran yang terhakis akibat limpahan banjir yang mengakibatkan sebuah rumah terancam dengan runtuhan tebing anak sungai itu telah siap.
Bagi memudahkan kerja-kerja pelaksanaan secara bergotong-royong dan mempercepatkan penyelenggaraannya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin telah menyediakan sebuah jentera.
Kerja pemasangan gabion dilakukan secara bergotong-royong oleh pemilik rumah dan dibantu oleh saudara mara, manakala bahan gabion dibekalkan oleh pihak Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS).
Robert berkata, semoga penduduk yang terkesan dengan musibah bencana ini dapat bersabar dan sentiasa peka dengan keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini.
Berikutan berlakunya perubahan cuaca dan fenomena alam semulajadi, Robert menasihati kepada penduduk supaya tidak melakukan sebarang aktiviti dan pembinaan di sepanjang tebing sungai.
“Ianya selaras dengan pekeliling yang dikeluarkan oleh JPS. Justeru itu penduduk diingatkan agar menjauhi pinggiran sungai apabila membina bangunan rumah demi keselamatan keluarga” katanya.
Pada masa sama Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berterima kasih kepada pihak JPS kerana membekalkan gabion untuk pembinaan benteng di Ulu Kikiran.