0leh: ADUKA JASNIN SUMAN
KOTA KINABALU: Rakyat disarankan agar tidak mengadakan sebarang perkumpulan secara fizikal sepanjang sambutan Pesta Kaamatan dalam usaha bersama-sama membendung penularan pandemik COVID-19.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Kaamatan bererti perlu bersama-sama (berkumpul) menyambut keramaian bersama saudara-mara, tetamu, rakan-rakan dari jauh dan dekat untuk mengeratkan silaturahim, seiring dengan tema Kaamatan pada tahun ini.
“Dengan ini, marilah kita tunjukkan semangat ini dengan lebih bekerjasama atau Mitatabang. Namun yang demikian, situasi pada tahun ini agak berbeza di mana, tidak ada perkumpulan secara fizikal,” katanya sempena pesta kaamatan tahun 2021.
Dr. Joachim selaku Pengerusi Penyelaras KadazanDusun Cultural Association (KDCA) Ranau, berkata lagi semua pihak harus akur dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan bagi memutuskan penularan wabak COVID-19 dan juga supaya kadar kes jangkitan tidak bertambah.
Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian menyeru kepada semua sentiasa mengamalkan SOP seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Oleh yang demikian, beliau menjelaskan semua masyarakat dijemput untuk menyambut perayaan Kaamatan ini dengan penuh kesederhanaan dan memupuk perpaduan sesama kita.
“Kita bersyukur kepada Tuhan yang Maha Esa kerana pada tahun ini, kita masih berpeluang menyambut Perayaan Kaamatan walaupun berada dalam situasi yang sukar, di Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
“Tema perayaan Kaamatan pada tahun ini ialah Kaamatan Aiso Wolit Montok Pomogunan Om Pibabasan, membawa maksud Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Kedamaian dan Keamanan.
“Marilah kita menyambut Kaamatan ini untuk saling bermaaf-maafan dan berdamai sesama kita. Ini adalah kerana, kedamaian sejagat akan mempengaruhi kestabilan politik dan ekonomi negeri ini,” katanya.