Antara barang rampasan yang telah dirampas oleh pihak polis di sini semasa menjalankan Operasi Tapis
RANAU: Usaha berterusan pihak polis di daerah ini dalam menjalankan ‘Operasi Tapis’ di sini telah membuahkan hasil dengan beberapa tangkapan dibuat di samping rampasan ketum.
Pada 11 Ogos 2024, bertindak atas aduan orang awam, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BJSJD) IPD Ranau telah membuat serbuan dan pemeriksaan “Operasi Tapis” bertempat di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kaparingan, Ranau.
Dalam serbuan ini, pihak polis telah berjaya menahan seorang individu warga tempatan (suspek) dan berjaya merampas sebuah bekas polistrin berisi beberapa air berwarna hijau gelap disyaki air ketum.
Sementara itu sehari sebelum itu, sepasukan Pegawai dan Anggota Polis dari Jabatan siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Ranau telah membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bongkud, Jalan Kampung Narawang, Ranau, Sabah.
Dalam serbuan ini telah berjaya menahan seorang lelaki berumur 41 tahun di hadapan rumah tersebut kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penjualan cecair dan serbuk ketum.
Semasa pemeriksaan, pihak polis telah menjumpai sebuah bekas polistrin berwarna putih yang merupakan tempat simpanan 16 botol cecair hijau berwarna gelap disyaki air ketum.
Pemeriksaan di sebelah rumah suspek telah menjumpai 11 guni berwarna hijau, tiga guni berwarna putih dan sebuah bungkusan plastik berwarna hitam yang di dalamnya masing-masing mengandungi bungkusan serbuk ketum yang berjumlah 369 bungkus.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Sementara itu, pihak polis di sini juga telah menangkap dan membuat rampasan dalam Operasi Tapis pada 9 Ogos 2024.
Dalam operasi itu, seorang lelaki penganggur berumur 34 tahun ditangkap di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Matan Ranau.
Semasa serbuan, suspek berada di dapur. Pihak polis telah memperkenalkan diri sebelum pemeriksaan dan serbuan dibuat.
Semasa pemeriksaan, pihak polis telah menjumpai peralatan untuk memasak air ketum, 13 botol berisi air warna hijau gelap disyaki air ketum, dan lebih kurang 1 kilogram disyaki daun ketum yang telah diproses.
Sementara itu, di lokasi berlainan di Kampung Dumpiring, Kundasang anggota serbuan telah merampas dan menangkap seorang lelaki berusia 38 tahun.
Semasa serbuan, pihak polis telah menjumpai 23 botol air minuman 1,500 ml digunakan bagi menyimpan air mengandungi cecair berwarna gelap disyaki air ketum.