29 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 22, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Taklimat sulung KPSTI garap komitmen perkasa Pendidikan dan Inovasi

Datuk James Ratib ( duduk tengah)

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) mengadakan taklimat pertamanya pada Jumaat lalu melibatkan pegawai daripada beberapa jabatan utama di bawah kementerian, sebagai usaha menyelaras hala tuju strategik dan memperkukuh kerjasama rentas agensi.

Taklimat berkenaan menghimpunkan pegawai daripada Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri, Perpustakaan Negeri Sabah, Sabah Net serta Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC).

Turut hadir, Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Jordan Jude Ellron

Fokus taklimat menjurus kepada pemantapan kefahaman mengenai struktur, mandat dan peranan Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI), yang turut dikenali sebagai MESTI (Ministry of Education, Science, Technology and Innovation), selaras dengan keperluan semasa sektor pendidikan serta ekosistem digital negeri.

Sesi suai kenal antara jabatan turut membuka ruang kepada perbincangan mengenai visi dan misi setiap agensi, termasuk keperluan memperkukuh transformasi digital Kerajaan Negeri dalam bidang e-ekonomi serta aspek keselamatan siber yang diterajui Sabah Net.

Jabatan Pembangunan Sumber Manusia pula menegaskan komitmen mereka untuk terus melahirkan modal insan berkemahiran tinggi melalui pelbagai program latihan, seiring slogannya, “Sentiasa Cemerlang”. Jabatan itu kekal menjadi pemangkin utama dalam memperkasa generasi muda melalui penyatuan institusi kemahiran dan peluang latihan yang lebih tersusun.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib, yang turut mempengerusikan taklimat tersebut, menegaskan bahawa tumpuan khusus akan diberikan kepada pembangunan pendidikan luar bandar, terutama melibatkan isu infrastruktur, keperluan asas sekolah serta cabaran akses pembelajaran bagi pelajar di kawasan pedalaman.

“Saya menaruh harapan tinggi agar kerjasama yang dibentuk dalam taklimat pertama ini dapat dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan,” katanya.

Taklimat tersebut dijangka menjadi asas kepada pelaksanaan agenda kementerian bagi tahun-tahun mendatang, khususnya dalam memperkukuh keupayaan pendidikan dan inovasi digital negeri Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN