Selamat (kanan) menyerahkan cek cura kepada Ritchie (dua dari kanan) sambil disaksikan Malai (dua dari kanan
PAPAR : Tabung Haji melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyerahkan dua unit rumah Program MyHAUS (Harta Anda Untuk Semua).
Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad berkata sumbangan itu bertujuan untuk mengurangkan beban serta memberi rumah yang lebih selesa kepada golongan asnaf yang terpilih.
“Pada hari ini, kita ada dua program untuk menyantuni dan melihat sendiri rumah yang dilaksanakan oleh JAWHAR menerusi dana oleh Tabung Haji.
“Bagi pihak MUIS, saya merakamkan berbanyak terima kasih kepada Tabung Haji dan JAWHAR yang banyak membantu asnaf di sabah.
“Kita mengharapkan program seumpama ini akan dapat terus dilaksanakan pada tahun akan datang untuk membantu sekaligus untuk mengeluarkan mereka dari senarai asnaf.
“Kita perlukan rumah dan daripada rumah itu dapat memberikan keselesaan kepada mereka untuk belajar dan mencari nafkah kehidupan,” ujarnya ketika ditemui media selepas sesi Penyerahan Rumah MyHAUS Sumbangan Tabung Haji di Kg. Suok Dambai, Papar, pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Pengarah JAWHAR, Datuk Selamat Paigo mempelawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memberi sumbangan bagi membantu golongan asnaf.
“Buat masa ini, tiada sasaran khusus untuk setiap negeri kerana kita bergantung kepada pihak yang sudi untuk memberikan sumbangan kepada asnaf.
“Oleh itu, mana-mana pihak GLC di Sabah yang ingin membuat sumbangan boleh mengadakan perbincangan terus dengan pihak MUIS agar bantuan dapat disampaikan dengan lebih teratur,” ujarnya ketika ditemui media dalam program yang sama di Kg. Batangan, Tuaran.
Dalam sesi penyerahan berkenaan, Raisha Maisara Isau dari Kg. Batangan Tuaran dan Ritchie Natchel Philip @ Mohd Danial Abdullah dari Kg. Suok Dambai, Papar masing-masing menerima satu unit rumah MyHAUS bernilai RM88 ribu. – PENERANGAN