Datuk Kenneth Vun
KUALA LUMPUR: Symphony Life Berhad melantik Messrs. PKF PLT sebagai juruaudit baharunya berkuat kuasa 4 September 2025, menggantikan Ernst & Young PLT (EY) yang meletakkan jawatan secara sukarela pada 29 Ogos lalu.
Pengarah Urusan Symphony Life, Datuk Kenneth Vun berkata pelantikan segera itu mencerminkan komitmen syarikat untuk terus bergerak maju secara lebih cekap dan teratur.
“Rangka kerja tadbir urus kami kekal kukuh, dan perjalanan transformasi syarikat berada di landasan yang teguh. Kami akan terus memberi tumpuan untuk membina organisasi yang lebih kukuh, komited terhadap keuntungan mampan serta nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi suku berakhir 30 Jun 2025, Symphony Life mencatat keuntungan bersih RM4.22 juta hasil daripada pendapatan sebanyak RM10.02 juta, sekali gus menandakan pemulihan daripada kerugian pada tahun-tahun kewangan sebelumnya.
Pencapaian itu, menurut syarikat, mengukuhkan kejayaan awal strategi penstrukturan semula yang dilaksanakan, selain menandakan satu fasa penting dalam perjalanan pemulihannya.
Seiring dengan perkembangan tersebut, Symphony Life menegaskan pihaknya akan terus mengutamakan ketelusan, akauntabiliti dan ketahanan bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang dapat dicapai.
Symphony Life Berhad ialah pemaju hartanah tersenarai awam dengan pengalaman lebih enam dekad dalam pembangunan kediaman, komersial dan bercampur, serta dikenali menerusi komitmen terhadap kualiti, inovasi dan reka bentuk berorientasikan gaya hidup.



