Penyerahan watikah pelantikan disempurnakan oleh Presiden PUSH, YBhg Puan Jessie Ambukon
KOTA KINABALU: Persatuan Usahawan Sabah (PUSH) mengadakan sesi penyerahan watikah pelantikan kepada Peguam Sylyester Kuan yang berlangsung di Pejabat Tetuan Sylyester Kuan & Co di Lintas Square, di sini, pada 21 Jan 2026.
Sesi tersebut menyaksikan Tuan Sylyester Kuan dilantik secara rasmi sebagai Penasihat Undang-undang PUSH bagi tempoh berkuat kuasa mulai 12 Jan 2026 hingga 31 Dis 2027.
Setiausaha Persatuan Usahawan Sabah, Jess Joel Moriga, berkata pelantikan berkenaan merupakan langkah strategik persatuan dalam usaha memperkukuh aspek tadbir urus serta sokongan perundangan kepada ahli-ahli persatuan, khususnya dalam kalangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (SME) di Sabah yang berdepan dengan cabaran perniagaan yang semakin kompleks.
Menurutnya, kehadiran penasihat undang-undang yang berpengalaman amat penting bagi memastikan perjalanan persatuan serta inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan secara teratur dan mematuhi keperluan undang-undang semasa.
Sementara itu, Presiden PUSH, Puan Jessie Ambukon, berkata pihaknya melihat keperluan mendesak untuk mempunyai penasihat undang-undang yang berpengalaman bagi memastikan setiap inisiatif, program serta kerjasama strategik persatuan dilaksanakan selaras dengan peruntukan dan keperluan perundangan.
“Sokongan perundangan yang kukuh amat penting bagi membantu usahawan memahami hak dan tanggungjawab mereka, sekali gus mengurangkan risiko perniagaan serta meningkatkan keyakinan dalam mengembangkan operasi,” katanya ketika dihubungi.
Dalam sesi yang sama, Sylyester Kuan turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM3,000 ke dalam akaun Persatuan Usahawan Sabah bagi menyokong pelaksanaan aktiviti persatuan yang memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti, pemerkasaan serta peningkatan daya saing usahawan SME di negeri ini.
Ketika ditemui selepas sesi tersebut, Sylyester berkata beliau komited untuk memainkan peranan aktif dalam membantu usahawan Sabah berkembang dengan lebih mampan dan berstruktur, khususnya dari sudut pematuhan undang-undang, tadbir urus korporat serta perlindungan kepentingan perniagaan.
“Usahawan SME di Sabah merupakan antara nadi terpenting dalam penjanaan ekonomi negeri. Mereka menyumbang secara langsung kepada penciptaan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi tempatan. Justeru, saya ingin menggunakan kepakaran dan pengalaman yang ada untuk bersama-sama menyumbangkan tenaga serta idea ke arah pembangunan wilayah Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sejajar dengan peredaran masa, sistem sokongan perundangan bukan lagi bersifat eksklusif kepada sesebuah perniagaan, sebaliknya merupakan satu keperluan asas bagi memastikan pematuhan undang-undang dalam menjalankan aktiviti perniagaan. Sylyester turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama rapat dengan kepimpinan PUSH dalam merangka pendekatan yang lebih praktikal dan mesra usahawan, agar sokongan perundangan dapat diakses dengan lebih mudah oleh komuniti perniagaan tempatan.
Penyerahan watikah pelantikan tersebut disempurnakan oleh Presiden PUSH, YBhg Puan Jessie Ambukon. Turut hadir ialah Pembantu Setiausaha, En Cheld Bryend; Bendahari Agung PUSH, Puan Pausia; serta Ahli Exco PUSH, Puan Dr Ts Radziah.



