TOKOH…Tun Juhar (empat dari kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah kepada Syed Abas.
PAPAR: Mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Syed Abas Syed Ali, 76, hari ini menerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah sempena Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024M.Beliau yang mendapat pendidikan peringkat A Level Oxford Board di Greenmore College dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dengan kepujian dalam bidang Applied Economics daripada East London University, kemudiannya memulakan kerjaya sebagai Pegawai Pembangunan (Divisyen Satu) di Kementerian Pembangunan Industri selama dua tahun mulai 1976.
Ketika berusia 32 tahun, beliau mula menceburi dunia politik sekaligus dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik di Kementerian Tanah dan Tugas-tugas Khas, Timbalan Pengerusi Pelabuhan-pelabuhan Sabah dan menjawat jawatan Pengerusi di beberapa agensi kewangan seperti Sabah Finance, Warisan Harta dan Penasihat Sains dan teknologi kepada Ketua Menteri Sabah.Ketokohannya kembali menyinar apabila dilantik sebagai ADUN pada tahun 2013 dan atas pencapaian dan sumbangan bakti kepada Negeri Sabah, beliau dikurniakan darjah kebesaran Negeri Sabah iaitu Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran “Datuk Seri Panglima”.
Syed Abas menerima wang tunai RM20,000 daripada kerajaan negeri, seutas jam tangan sumbangan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, sepersalinan pakaian dan sebuah smart tablety sumbangan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Masyarakat Papar, pada Ahad.
Pada majlis tersebut, Tun Juhar yang diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan berkenaan juga menyampaikan Anugerah Pengurusan Cemerlang Surau Agensi dan Pusat Beli Belah kepada Surau Mydin Sejati Ujana Sandakan (Johan), Surau Shopping Mall Suria Sabah (Naib johan) dan Surau BTC Kota Kinabalu (tempat ketiga) yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000, RM4,000 dan RM3,000 serta trofi dan sijil pengiktirafan.
Turut disampaikan, Anugerah Pengurusan Cemerlang Taman Perkuburan Ar-Raudah kepada Tanah Perkuburan Islam Bongawan (Johan), Tanah Perkuburan Pekan Menumbok (Naib johan) dan Taman Perkuburan Kg Gudon Menggatal (tempat ketiga) yang masing-masing memenangi wang tunai RM4,000, RM3,000 dan RM2,000 serta mesin pemotong rumput dan pemotong ranting sumbangan Sawit Kinabalu, trofi dan sijil pengiktirafan.
Kira-kira 5,000 umat Islam membanjiri dewan berkenaan hingga melimpah ke Dewan Terbuka serta kawasan parkir, selain kehadiran para pengunjung ke beberapa reruai pameran oleh agensi dan jabatan-jabatan kerajaan di daerah terbabit.Selain Ceramah Khas yang bertajuk “Hijrah” yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Badli Shah Alaudin, umat Islam juga dihiburkan dengan
persembahan nasyid oleh Kumpulan Generasi Seni Sipitang (GESS) yang dianggotai enam orang ahli terdiri daripada kakitangan Majlis Ugama islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang diperdengarkan oleh Johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022, Hamdi Yusof.
Antara yang hadir, Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali; Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam; ADUN Kawang, Datuk Seri Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar; Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin dan Timbalannya, Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pegawai Daerah, Mohd Fuad Abdullah./Penerangan–