LABUAN: Syarikat yang mengendalikan perkhidmatan pejabat terbesar di Labuan, Universal Serviced Offices and Management Ltd (USO) menjadi syarikat perkhidmatan pejabat yang pertama di negara ini menerima mata wang kripto sebagai salah satu kaedah pembayaran.
Ketua Pegawai Eksekutif USO Hesham Mansour berkata keputusan untuk menerima guna transaksi mata wang kripto telah menjadi perancangan syarikat itu selepas melakukan penyelidikan pasaran tahun lepas.
“Ia suatu yang mengujakan untuk mengumumkan bahawa pada 6 April, 2022, USO mula menerima mata wang kripto, dan pengenalan ini merupakan sebahagian daripada pendekatan agresif kami untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami yang dihargai,” katanya di sini, baru-baru ini.
Hesham berkata kebanyakan pelanggannya adalah dalam sektor antarabangsa dan kewangan dari Jepun, Singapura dan India, dan USO akan membolehkan mereka dan pelanggan mereka dari Malaysia menggunakan Bitcoin dan Ethereum sebagai pilihan pembayaran bil.
Beliau berpandangan mata wang kripto secara kolektifnya adalah “mata wang yang lebih demokratik” dengan bekalan terhad dan nilainya berasaskan kepada permintaan, “sedangkan mata wang fiat seperti dolar AS terbuka kepada manipulasi oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Rizab Persekutuan AS yang mengurangkan kredibiliti mata wang, dan kebelakangan ini meningkatkan tekanan inflasi”.
Ketika ini USO & Management Ltd yang terletak di Tingkat 16 Komplkes Ujana Kewangan telah menawarkan 161 ruang tempat duduk dan 59 unit pejabat yang dilengkap pelagai kemudahan berkualiti tinggi.
Hisham juga berkata, pihaknya bersedia menyediakan lebih banyak ruang pejabat secara berterusan disamping menbambah kakitangan dalam sektor yang lebih besar khususnya pejabat yang mengendalikan industri hartanah dan pasaran perniagaan kewangan antarabangsa.