30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Syabas atas penghasilan Buku Panduan dan Perlaksanaan Tugas Pemegang Adat: Abidin

Abidin (tengah) dan para Pemegang Adat menunjukkan Buku Panduan dan Perlaksanaan Tugas Pemegang Adat yang telah siap dicetak

RANAU: Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir memuji usaha dan inisiatif para Pemegang Adat di kawasan Paginatan yang telah berjaya menghasilkan Buku Panduan dan Perlaksanaan Tugas Pemegang Adat di sini.


“Tahniah atas kejayaan membukukan tugasan Pemegang Adat dan kamu telah menyahut cabaran untuk mendokumenkan tugasan dan tanggungjawab para Pemegang Adat.


“Saya berpuas hati selepas melihat buku tersebut telah dibuat dengan cara yang begitu baik sekali dan professional. Kita harap Langkah yang sama juga diikuti oleh semua Pemegang Adat di seluruh negeri,” kata beliau.


Tambah beliau, Watikah Perlantikan bagi semua Pemegang Adat baru dan lama sudahpun dikeluarkan selepas terdapat syarat-syarat baru daIam tugasan, termasuklah semakan baru elaun para Pemegang Adat.


Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Santai Bersama Pemegang Adat sempena Pelancaran Buku Panduan dan Pelaksanaan Tugas Pemegang Adat dan Kenduri Parai Wagu di ISRA Homestay Kinapulidan baru-baru ini.


Sementara itu, Pengerusi Balai Adat DUN Paginatan, KAN Dualis Porodtong turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli-ahli Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan kerana sentiasa mempamerkan perpaduan yang kukuh di kalangan ahli.


“Terimakasih kerana sentiasa memperlihat kerendahan hati dan hormat menghormati di antara satu sama lain, dan sentiasa bekerjasama untuk menyokong apa sahaja aktiviti yang dilaksanakan oleh Persatuan.


“Pemegang Adat DUN Paginatan juga telah menunjukkan komitmen yang tinggi menyokong progam-program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri, sebagai contoh, penglibatan mereka dalam menyertai perayaan Hari Sabah di Tambunan pada tahun yang lalu.


“Untuk makluman, Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan akan berkampung di Perkarangan Jambatan Kg Walou bagi menyambut Hari Kemerdekaan Sabah. Ini melibatkan aktiviti melakukan kerja amal di SK Paus, Gereja Kg Walou dan juga Surau Kg Paus,” kata beliau.


Dualis berkata, Kursus Pemerkasaan Adat Mukim Tanah Rata telah sempurna dilaksanakan dan kini hasilnya dibukukan. “Diharap buku ini akan menjadi kebanggaan genersi akan datang,” kata beliau.


Beliau turut menyeru kepada semua ahli Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan supaya terus menerus memberi sokongan padu kepada Wakil Rakyat dan mahu melihat YB Datuk Abidin Madingkir untuk terus menjadi Wakil Rakyat selepas PRN 17 nanti.

Dalam pada itu, Abidin cukup terharu dengan kenyataan Dualis kerana memberikan komitmen sokongan yang tidak berbelah bagi kepadanya untuk terus memimpin rakyat di DUN Paginatan.


“Komitmen ini memberi motivasi dan semangat baru bagi saya untuk memasuki pilihanraya akan datang dan diharap kita semua akan memperolehi kemenangan.


“PRN17 tidak lama lagi akan diadakan, justeru semua ahli Pemegang Adat mesti bekerja lebih kuat untuk menyampaikan agenda kerajaan dan juga memberi penerangan kepada rakyat tentang pencapaian Kerajaan GRS.


“Ada beberapa PDM yang perlu dilihat yang mana kita memperolehi kekalahan tipis daIam PRN16 yang lalu. PDM-PDM ini perlu dilawat dan adakan aktiviti Pemimpin Bersama Rakyat di sana. Matlamat kita adalah untuk memenangi semua PDM ini dalam PRN17,” katanya.


Abidin menambah bahawa tapak untuk pembinaan balai Adat Mukim Tanah Rata di sini sudahpun dikenal pasti.


“Saya akan sentiasa menyokong pembinaan Balai Adat di setiap Mukim kerana ia adalah penting untuk digunakan sebagai pusat aktiviti Persatuan Pemegang Adat tersebut,” jelas beliau.


Turut hadir dalam majlis itu, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, Pemaju Mukim Tanah Rata Lasius Golipoi, dan semua ahli Pemegang Adat Mukim Tanah Rata.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN