LAWAT… Hay ketika melawat Tugu Peringatan Perang Ke Dua di Tanjung Taras.
LABUAN: Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Charles Hay memberi jaminan untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan, Perbadanan Labuan khususnya yang melibatkan pelabur di sektor perniagaan dan pelancongan.
Beliau berkata, pihaknya amat berminat mencari peluang di Malaysia termasuk Labuan untuk membawa usahawan dari Britain melabur dengan harapan mereka diberikan maklumat yang mencukupi tentang pontensi Labuan dalam pelbagai industri.
“ Kami sentiasa berminat mencari peluang di seluruh Malaysia termasuk Labuan, walaupun tidak mempunyai maklumat mencukupi sama ada terdapat usahawan dari Britain beroperasi di pulau ini atau sebaliknya.
“Sudah tentu, industri minyak dan gas begitu aktif di sini dan saya yakin terdapat syarikat dari Britain yang beroperasi dalam sektor minyak disini,” katanya kepada media selepas di raikan dalam satu jamuan makan tengah hari di Kelab Golf Antarabangsa Labuan (LIGC) anjuran Perbadanan Labuan, pada Rabu.
Menurut Hay Labuan mempunyai sejarah ketika berlakunya Perang Dunia Kedua dimana sejumlah tentera Britain yang terkorban telah disemadikan di sini dan ini sekaligus sebahagian besar rakyat Britain mengenali Labuan dan pada masa yang sama dapat membantu mempromosikan pelancongan Labuan.
Terdahulu, Hay bersama rombongan telah melawat Tugu Peringatan Perang Dunia Ke Dua di Tanjung Taras yang menempatkan 3,800 pusara tentera bersekutu termasuk tentera British yang dibina dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkuburan Perang Komanwel.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman, Panglima Wilayah Udara Dua, TUDM Labuan, Mejar Jeneral Dato’ Shamsudin Kassim, Ketua Polis Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Labuan, Dr. Geoffery Harvey Tanakinjal dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan, Fadzilah Mahmud.





