MOHD Dzulfaizal menyerahkan kupon vaksin berjadual kepada salah seorang penduduk kampung yang ditemui di salah sebuah taman perumahan di sini.
LABUAN:Tidak kira keadaan cuaca panas atau hujan dipuji atau sebaliknya, petugas Sukarelawan Wilayah Prihatin (Privo) Labuan tetap cekal menggalas tanggungjawab membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan masyarakat di pulau ini mendapat suntikan vaksin.
Ketua Penyelaras Sukarelawan Privo yang juga Pengerusi MPP Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab Manan berkata petugas sukarelawan Privo yang ditugaskan di Pusat Pemberian Vaksin Kolej Matrikulasi Labuan (PPV-KML) sentiasa komited memberikan khidmat yang diperlukan di lapangan.
“Seperti yang diamanahkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan untuk memastikan warga Labuan diberi vaksin, kami juga berusaha membantu kerajaan dalam memastikan Labuan mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang pertengahan Julai nanti” katanya ketika ditemui di PPV KML kelmarin.
Menurut beliau, jika sebelum ini petugas sukarelawan Privo PPV KML tertumpu dalam mengendalikan proses pendaftaran penduduk kampung untuk menerima vaksin di pintu masuk PPV KML, kini ia diperluaskan lagi dengan mendekati orang ramai yang belum menerima suntikan vaksin melalui kaedah pengedaran kupon vaksin berjadual yang dijalankan di beberapa kawasan tumpuan orang ramai sepeti pasaraya dan taman perumahan.
“Pasukan kami juga telah memperluaskan kaedah pengedaran kupon vaksin berjadual ini kepada warga asing yang tinggal di pulau ini selepas mendapat persetujuan dan kelulusan daripada MKN Labuan.
Untuk rekod Sukarelawan Privo yang bertugas di PPV KML kini mencecah 40 orang yang terdiri daripada golongan belia, pemimpin masyarakat, mantan pemimpin masyarakat dan juga bekas pesakit COVID 19.
Mereka adalah sebahagian daripada barisan hadapan yang mempunyai jiwa kental dalam membantu penduduk kampung mendapatkan suntikan vaksin COVID 19 serta bertekad untuk sama sama membebaskan Labuan daripada wabak COVID 19.