GAMBAR: SIMBOLIK… Zyee (lima dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Mejar Rosli sambil diperhatikan oleh warga LSE yang menyertai sesi latihan tersebut
LABUAN: Labuan Shipyard Engineering Sdn. Bhd (LSE) percaya bahawa bersenam dan bersukan mempunyai peranan penting untuk meningkatkan kesihatan dan keyakinan diri setiap pekerja.
Menyedari hakikat itu, LSE dengan kerjasama Persatuan Tinju Amatur Labuan (PTAL) telah menganjurkan sesi latihan asas sukan tinju yang diadakan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, pada Sabtu.
Seramai 30 peserta yang terdiri daripada warga kerja dan ahli keluarga LSE telah menyertai latihan tersebut yang dikendalikan oleh tiga pelatih tinju PTAL Roslan Abin, Ian Colin yang juga merupakan peninju kebangsaan Labuan dan Nazhim Rosli.
Hadir sama pada sesi latihan itu Presiden PTAL, Mejar Rosli Daud (B).
Sementara itu Rosli berkata, PTAL ketika ini sedang berusaha untuk mengaktifkan semula sukan tinju dan pada masa yang sama beliau mengalu-alukan golongan belia untuk menyertai persatuan itu.
“PTAL kini sedang berusaha untuk mengaktifkan semula sukan tinju disamping mempelawa golongan belia untuk menyertai sukan itu sekaligus mencungkil bakat-bakat muda yang berpotensi sebagai pelapis atlit sukan tinju yang akan mewakili Labuan dalam pertandingan sukan tinju diperingkat negeri mahupun kebangsaan.
Diakhir sesi latihan, pihak LSE telah menghulurkan sumbangan berupa kewangan kepada PTAL yang disampaikan oleh Pengurus Komunikasi Korporat LSE Sdn. Bhd, Zyee F Dullie kepada Mejar Rosli Daud.