Jawatankuasa pelaksana program dan orang ramai sempat merakam gambar bersama Jonathan (duduk depan tujuh dari kiri).
RANAU: Sukan Rakyat yang mengetengahkan beberapa perminan tradisi boleh dijadikan landasan untuk memupuk perpaduan dan persaudaraan dikalangan rakyat berbilang kaum, kata Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Menurutnya, sukan rakyat dan permainan tradisi yang diadakan sempena sambutan pesta kaamatan setiap tahun banyak mengetengahakan sukan dan permainan tradisi seperti, Melastik, Tarik Tali, Melokud (gusti tangan), menepok (menyumpit), Migayat Lokog (tarik tali) dan banyak lagi perlu di kekalkan untuk memeriahkan suasana selain dapat memupuk keharmonian dikalangan rakyat.
“Justeru rakyat diminta menyokong dan menyertainya tanpa terlalu memikirkan soal hadiah stau kemenangan”, jelas Jonathan ketika berucap merasmikan Program Sukan dan Permainan Tradisi Rakyat anjuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daerah Ranau di Padang Majlis Daerah di Ranau (MDR) pada Sabtu.
Jonathan mencadangkan kepada pegawai daerah supaya menyediakan kertas kerja yang lengkap untuk dipanjangkan kepada Ketua Menteri Sabah, bagi memohon dana membiayai program sukan seumpama ini.
“Program itu difikirkan sesuai dianjurkan di peringkat daerah ini selaras dengan kedudukannya sebagai destinasi utama pelancongan di negeri ini, sekaligus dapat menjana pendapatan setempat menerusi ni Homestay (Inap Desa ), restoran dan jualan produk lain seperti kraftangan dan makanan”, jelas Jonathan.
Terdahulu, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Bin Manggam dalam ucapannya memuji Rela daerah kerana berjaya mengelola program itu yang merupakan pembuka tirai sambutan pesta kaamatan peringkat daerah Ranau yang seterusnya dilanjutkan pada 8 Mei dan kemuncaknya pada 10 Mei di Dewan Masyarakat Ranau dengan pelbagai acara termasuk pertandingan Unduk Ngadau.
Turut berucap ialah, Pegawai Rela Daerah Ranau, Mohd.Ramdan of Bin Raidin. Sementara hadir sama ialah, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda dan Pengerusi JKDB Ranau, Tan Eng Sing.



