LIMUS JURY (kiri) – NELSON TAN SRI WENCES ANGANG (Kanan)
KOTA KINABALU: Seorang pemimpin kanan Upko besar kemungkinan akan menjadi taruhan parti itu untuk dicalonkan bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) kawasan Kuala Penyu dalam pilihan raya ke-15 akan datang.
Setiausaha Agung parti, Nelson Angang disebut-sebut menjadi pilihan pucuk kepimpinan parti bertanding di kawasan berkenaan.
Dengan spekulasi tersebut, ramai tertanya- tanya apa akan terjadi dengan nasib yang bakal menimpa wakil rakyat sekarang, Datuk Limus Jury. Apakah ini usaha terancang yang dilakukan Upko bagi menggantikan tempat beliau atau ia tanda-tanda bahawa Adun itu sudah mempunyai hala tuju sendiri.
Penganalisis Politik berpendapat spekulasi yang wujud itu membayangkan sesuatu akan berlaku dalam pencaturan menentukan calon parti di kawasan berkenaan.
Jika kedudukan Kerajaan Persekutuan terus menghadapi tekanan dari kem pembangkang adalah tidak mustahil pembubaran parlimen akan berlaku bila-bila masa dan tidak dapat dielakkan. Keadaan itu akan menyebabkan isu pencalonan pemimpin Upko akan terus dibangkitkan dan tumpuan pastilah terarah bagi kawasan Parlimen Beaufort.
Peluang UPKO untuk mengemukakan calon terbuka luas berikutan Warisan mempunyai pengaruh politik yang terbatas di kawasan itu yang membabitkan Dun Klias
Seandainya pembubaran parlimen terjadi, nama Setiausaha Agung Upko sekali lagi akan menjadi tumpuan. Nelson yang juga Timbalan Ketua Bahagian Upko Beaufort tentunya menjadi pilihan sekiranya Warisan tidak meletakkan calonnya. Soalnya, apa pendirian Limus dan apa yang berlaku kepada wakil rakyat yang tidak mempunyai seberang peranan dalam kerajaan sungguhpun telah mengorbankan diri membantu Warisan untuk membentuk kerajaan pada 2018.
Sumber-sumber yang boleh dipercayai menyatakan bahawa Adun itu sentiasa mendapat perhatian daripada kalangan pemimpin pusat supaya mengubah pendirian. Malah dikatakan ada usaha-usaha untuk memancing beliau supaya beralih arah ekoran spekulasi yang menjejaskan kedudukan beliau sebagai pemimpin Upko di kawasan Dun tersebut.
” Perkara ini tidak mustahil kerana Limus mempunyai hubungan baik dengan para pemimpin pusat yang kini menganggotai kabinet Kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin”, kata penganalisis itu
Setuasi bertambah hangat dengan suasana dan kemelut politik ketika ini. Pembebasan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dari 46 pertuduhan penggubahan wang haram dan salah guna kuasa oleh Mahkamah Persekutuan beberapa hari lepas menguatkan lagi gegaran dalam politik Sabah. Ia tentu sekali memburukkan lagi kemelut politik dan menyebabkan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal lebih berwaspada dan berusaha sedaya upaya untuk memantau pergerakan Adun-Adun dan ahli-ahli parlimen kerajaan negeri. –Borneo Daily Bulletin