TINJAU….Khaziyati meninjau sesi persekolahan di SMK Labuan.
LABUAN: Tinjauan tang dilaukan oleh beberapa pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Rabu lalu mendapati pengoperasian hari pertama persekolahan di 10 buah sekolah menengah di wilayah ini telah berjalan dengan lancar.
Semua pegawai angkat sekolah telah diminta untuk membuat tinjauan dan memberi khidmat bantu berkaitan tatacara pengoperasian sekolah bagi memastikan kesiapsiagaan sekolah dalam mematuhi SOP yang telah diwartakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sesi tinjauan yang turut disertai oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada PDRM telah diselaraskan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Maimoon Matnoh.
Menurut beliau, tinjauan pada hari pertama itu adalah bagi memastikan 10 sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional Labuan telah bersedia untuk menerima murid Tingkatan 5 kohort 2020 dan Tingkatan 6.

GILIRAN…pelajar menunggu giliran untuk memasuki kawasan sekolah pada hari pertama persekolahan.
“Tinjauan ini juga termasuk pematuhan kepada model pengawalan keberadaan murid di pintu pagar sekolah yang telah dikeluarkan oleh KPM mengikut kesesuaian lokaliti sekolah.
“Hal ini sangat penting kerana pihak JPN sentiasa mengutamakan keselamatan murid dalam tempoh PKP ini.
“Murid-murid dan guru-guru perlu sentiasa mematuhi norma-norma baharu dalam amalan harian dan aktiviti pembelajaran sepanjang masa,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran (SPb), Yusup Mohamad, yang meninjau keadaan di SMK Taman Perumahan Bedaun mendapati pihak sekolah telah bersedia sepenuhnya untuk menerima murid seawal pukul 6 pagi.
“Pihak sekolah telah berjaya menyusun dengan baik pergerakan murid bermula daripada pintu pagar sekolah sehingga ke dalam bilik darjah.
“Kita dapati murid-murid juga patuh kepada arahan guru untuk beratur dengan tertib, membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan seterusnya bergerak ke kelas masing-masing untuk memulakan sesi pembelajaran.”kata beliau.
Tinjauan di SMK Mutiara pula turut disertai oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada IPD Labuan, ASP Haslina Hassan.
Beliau turut memuji kesiapsiagaan dalam menangani pandemik COVID-19 di peringkat sekolah.
“Saya sempat meninjau di dalam bilik darjah juga mendapati bilik darjah telah disusun mengikut jarak yang sesuai dengan SOP yang telah ditetapkan. Sabun pembersih tangan telah disediakan oleh pihak sekolah di tempat-tempat yang strategik bagi membolehkan murid-murid mengamalkan pembersihan tangan secara kerap,”katanya.
Sesi persekolahan di SMK Lajau juga berlangsung dengan baik.
Menurut Maimoon, pihak sekolah telah berjaya menyusun pergerakan murid dengan baik dengan mengamalkan penjarakan fizikal bermula daripada pintu pagar sekolah hingga ke bilik darjah.
Dalam sesi lawatan ke kelas-kelas, beliau sempat memberi motivasi kepada murid-murid yang telah ‘bercuti’ lama.
“Kami berpuashati dengan tahap kesiapsiagaan sekolah menerima kehadiran murid hari ini.
“Guru-guru juga kelihatan begitu komited dan teruja untuk mengadakan sesi PdP secara bersemuka bersama-sama dengan murid,” katanya lagi.
Pengarah Pendidikan Labuan, Khaziyati Osman pula sempat meninjau sesi persekolahan di SMK Labuan yang menerima murid paling ramai pada hari pertama persekolahan.
Kunjungan ini juga turut disertai oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri yang telah diketuai sendiri oleh pengarahnya, Dr. Ismuni Bohari.
Menurut pengetuanya, Ismail Abdullah, seramai 232 murid Tingkatan 5 kohort 2020 dan 312 pelajar Tingkatan 6 hadir ke sekolah pada Rabu.
Khaziyati melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terutamanya pentadbir sekolah yang begitu komited dalam memastikan pematuhan kepada SOP bagi mengelak penularan pandemik COVID-19 di dalam premis sekolah.
“Jabatan Pendidikan Labuan sangat komited untuk terus mengamalkan norma-norma baharu dalam tempoh kritikal ini.
“Saya berharap agar amalan ini konsisten daripada hari pertama sehingga ke hari terakhir persekolahan.
“Kerjasama daripada pelbagai pihak sangat dialu-alukan bagi memberi cadangan penambahbaikan kepada SOP sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan kawalan penularan COVID-19 terutamanya daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan PDRM,” tambah beliau lagi.
Ketika mengulas dapatan laporan kehadiran murid kelmarin, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Abdul Rahman Ahmad, memaklumkan seramai 911 murid daripada 984 murid tingkatan lima kohort 2020 atau 93.89% murid telah hadir sesi bersemuka pada hari pertama persekolahan kali ini.
Sesi persekolahan kelmarin tidak melibatkan murid pra sekolah, sekolah rendah dan murid-murid Tingkatan 1 hingga 5 kohort 2021.