KENINGAU: Naib Presiden KDCA, Datuk Robert Tawik (gambar)bersetuju dengan keputusan Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bagi mengekalkan identiti ‘Kadazandusun’ bagi menggantikan istilah ‘Lain-Lain’ dalam borang rasmi kerajaan.
Menurtnya, keputusan yang dibuat oleh Huguan Siou lebih praktikal dalam mendepani era kemajuan negara ketika ini dan amat signifikan agar tidak berlaku sebarang kekeliruan pada mana-mana pihak dalam urusan rasmi kerajaan.
“Bukannya istilah ‘Momogun’ itu tidak baik, tetapi kita kena menyedari bahawa frasa itu boleh mengelirukan lagi pihak-pihak tertentu kerana kita kena sedar bahawa negara ini mempunyai pelbagai etnik bangsa dan sudah tentu identiti ‘Kadazandusun’ mudah dikenali dalam urusan rasmi kerajaan”. Katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor berkata, arus permodenan masa kini telah meletakkan identiti ‘Kadazandusun’ sebagai identiti kolektif yang menaikkan martabat suku kaum itu di mata masyarakat bukan sahaja di dalam negara malah luar negara.
Justeru katanya, semua pihak harus menyedari hakikat bahawa usaha memartabatkan suku bangsa itu haruslah mengikuti acuan yang sesuai dengan pembangunan sejagat kerana ia adalah simbol kearah kebudayaan kaum kita lebih dikenali ramai.
“Kita hormati usaha yang dilakukan oleh ahli-ahli jawatankuasa kongres Nasional Momogun (MNC) yang mencadangkan penggantian istilah ‘Lain-Lain’ kepada ‘Momogun’ dalam borang rasmi kerajaan. Namun apa yang terbaik untuk bangsa Kadazandusun lebih dikenali ramai, ia akan menjadi landasan terbaik untuk kita sama-sama terus memperkukuhkan teras kebudayaan kita yang kaya dengan adat-istiadat yang boleh dipromosikan kepada dunia luar’’. Jelasnya.
Sebelum itu, Datuk John Ambrose selaku Ahli Jawatankuasa Pusat KDCA turut menyatakan sokongan sama dan menyeru agar para pemimpin untuk memberi tumpuan kepada perkara penting seperti menuntut hak-hak Sabah dan pemberian khas 40 peratus yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.